Persatuan Bola Sepak New Zealand telah mengumumkan senarai 21 pemain yang akan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Malaysia pada 14 Oktober ini di Stadium North Harbour, Auckland.

Selain menentang Malaysia, mereka turut dijadualkan menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Ocenia menentang Tahiti (11 Oktober) dan Vanuatu (15 November).

Baca Juga:

Turut berada dalam senarai skuad kendalian Darren Bazeley itu ialah bekas penyerang Newcastle United, Chris Wood dan pemain tengah Olympiacos, Marko Stamenic.

Malah, mereka turut diperkuatkan oleh 7 pemain yang beraksi dengan kelab Eropah termasuk dari Serie A.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya bertemu pasukan ranking 94 dunia tersebut ialah 18 tahun yang lalu iaitu ketika skuad yang dibimbing Norizan Bakar ketika itu tewas 1-0 pada aksi persahabatan pertama di Christchurch pada 19 Februari 2006 dan tewas 2-1 pada aksi persahabatan kedua di Auckland pada 23 Februari 2006.

Perlawanan tersebut bakal bakal memberikan pulangan mata ranking kerana ia termasuk dalam Kalendar Antarabangsa FIFA, 7 hingga 15 Oktober 2024.

Selain menentang New Zealand, satu lagi perlawanan persahabatan masih dalam perancangan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman menerusi laporan Berita Harian menjelaskan badan induk itu telah meminta bantuan Persatuan Bolasepak New Zealand untuk mengatur perlawanan persahabatan kedua menentang pasukan dari Oceania.

Aksi persahabatan diaturkan sebagai medan persiapan skuad kendalian Pau Marti bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric pada hujung tahun ini selain Kelayakan Piala Asia 2027 yang bermula tahun depan.