Sebuah video tular di media sosial menunjukkan seorang penumpang menyiarkan detik-detik cemas secara langsung di Facebook sewaktu nahas pesawat Yeti Airlines yang terhempas di Nepal.

Pesawat ATR 72 dari Kathmandu—yang membawa 72 orang—terhempas sejurus sebelum mendarat di Pokhara, destinasi pelancongan utama di Himalaya. Difahamkan bahawa seramai 68 orang meninggal dunia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menurut laporan media, telefon bimbit yang ditemui daripada serpihan pesawat Yeti Airlines yang terhempas telah merakam detik-detik terakhir penerbangan itu.

Video yang disiarkan tersebut telah menjadi tular, kelihatan seorang penumpang yang duduk di dalam pesawat dengan pemandangan bandar dapat dilihat dari tingkap pesawat.

Tidak lama selepas itu, berlaku letupan dan situasi yang kacau bilau. Beberapa saat terakhir menunjukkan api yang marak dan situasi yang mengerikan dengan tangisan penumpang mula kedengaran.

Bagaimanapun, pihak berkuasa belum mengesahkan kesahihan video tersebut dan ia turut menjadi tanda tanya netizen.

Menurut laporan, mangsa yang membuat siaran langsung di Facebook tersebut adalah Sony Jaiswal, dia difahamkan adalah antara 68 orang yang maut dalam nahas pesawat tersebut.

Satu lagi video yang diambil dari darat menunjukkan bagaimana pesawat itu terhempas. Kelihatan ia tiba-tiba condong ke kiri, terbalik dan kemudian meletup menjadi bola api.

Nepal mempunyai rekod keselamatan udara yang buruk sebelum ini telah mengumumkan hari berkabung bagi memperingati mangsa penerbangan Yeti Airlines.

Serpihan pesawat masih bertaburan di lokasi nahas. Ini termasuk saki-baki tempat duduk penumpang yang remuk.

Anggota penyelamat telah bergegas ke tempat kejadian selepas kemalangan dan cuba memadamkan api yang menyebabkan asap hitam tebal menguasai langit.

Sebelum ini, jurucakap Yeti, Sudarshan Bartaula berkata, terdapat 15 warga asing di dalam pesawat Yeti Airlines yang terhempas di Nepal. Mereka datang dari India, Rusia, Korea Selatan, Argentina, Australia, Perancis dan Ireland.