Skuad Harimau Malaya ibarat melepaskan geram selepas berehat selama dua bulan tanpa perlawanan kompetitif apabila berpesta gol membelasah Nepal 5-1 pada aksi persahabatan semalam.

Perlawanan yang berlangsung secara tertutup itu diadakan sebagai pemanas badan untuk persiapan menghadapi Oman pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 yang bermula pada 22 Mac ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ia juga dimainkan selama 140 minit dengan pertukaran pemain  dilakukan pada separuh masa untuk memberi peluang kepada mereka mendapatkan kecergasan perlawanan.

Beberapa tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti Syihan Hazmi, Romel Morales, Syamer Kutty dan Endrick Dos Santos antara pemain yang baru lapor diri turut diberi peluang beraksi.

Malah, Faisal Halim yang merupakan penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 dilantik sebagai kapten untuk aksi persahabatan tersebut.

FOTO: FAM

Ketika perlawanan itu, Harimau Malaya terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Darren Lok. Penyerang sabah itu bernafsu menjaringkan gol kedua pada minit ke 35.

Stuart Wilkin kemudian menambah gol ketiga pada minit ke 46 sebelum Daniel Ting mencatat nama sebagai penjaring gol keempat dua minit kemudian.

Bagaimanapun, Nepal berjaya memperolehi gol sagu hati pada minit ke 68 hasil jaringan Sameer Tamang. Namun ia tidak mematahkan semangat skuad Harimau Malaya yang garang menambah gol kelima menerusi Mukhairi Ajmal.

Keputusan perlawanan ini tidak memberi apa-apa pulangan dari segi mata ranking FIFA kerana ia bukan aksi persahabatan berstatus Tier 1.

Ketua jurulatih, Kim Pan Gon dijangka akan mengumumkan senarai akhir 25 pemain yang dibawa ke Oman hari ini. Kemenangan ke atas Oman sangat penting untuk mencerahkan peluang beraksi di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.