Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyenaraikan skuad Harimau Malaya antara 5 pasukan yang mampu cipta kejutan dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026.

Menurut artikel yang dikeluarkan di laman sesawang FIFA, Malaysia disenaraikan bersama empat lagi negara iaitu Comoros, Rwanda, Ecuador dan Venezuela sebagai pasukan yang beraksi cemerlang setakat ini.

Baca Juga:

FIFA menyifatkan Malaysia mencipta kejutan yang tidak dijangka apabila muncul sebagai pendahulu kumpulan D di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.

“Ketika pusingan kedua (Kelayakan Piala Dunia) dikuasai oleh pasukan gergasi seperti Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi, Malaysia menonjol sebagai pasukan yang tidak dijangka dalam kumpulan D.

“Mereka berjaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0 pada November tahun lalu,” kata artikel itu.

Skuad kendalian Kim Pan Gon itu kini mengutip enam mata selepas kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan itu. Malah, Harimau Malaya hanya memerlukan enam mata lagi untuk mengesahkan tiket ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 lebih awal.

Selepas ini, Malaysia akan bertemu pasukan di ranking 74 dunia, Oman dua kali di tempat lawan dan Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan Mac depan.

“Kalau kami berjaya mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia, ia akan memberi lebih banyak kegembiraan kepada rakyat Malaysia. Saya mahu buat kemajuan besar dari segi pembangunan bola sepak,” kata Kim Pan Gon dalam artikel FIFA tersebut.