Ahli perniagaan, Nicky Liow telah dibebaskan sepenuhnya daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan lebih RM36 juta selepas pihak pendakwaan menarik balik kes berkenaan tiga tahun lalu.

Peguam beliau, Datuk Rajpal Singh, mengesahkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan selepas menerima surat representasi daripada Liow, atau nama sebenar beliau Liow Soon Hee.

Peguam itu berkata anak guamnya juga telah melunaskan tunggakan cukai berjumlah RM400,000 dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan mengemukakan borang nyataan cukai yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan, petik New Straits Times.

“Kami telah menghantar surat representasi kepada AGC dan mereka telah menerimanya. Beliau telah dibebaskan pada 15 Jun 2023,” katanya ketika dihubungi.

Surat representasi merupakan permohonan rasmi oleh pihak pembelaan kepada AGC untuk menyemak semula pertuduhan, kebiasaannya bagi memohon supaya pertuduhan ditarik balik, dikurangkan, atau dipertimbangkan semula berdasarkan alasan undang-undang atau fakta.

Memetik laporan itu lagi, berdasarkan kertas pertuduhan, Liow sebagai pengarah syarikat didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan memiliki wang yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi berhampiran Lembah Klang antara tahun 2016 hingga 2021.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Kesalahan di bawah AMLATFPUAA memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.