Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan penjelasan rasmi berhubung isu penarikan balik pertuduhan terhadap Liow Soon Hee, atau lebih dikenali sebagai Nicky Liow, bagi menjawab laporan portal berita berkaitan desakan pelbagai Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO).
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara:
Pertuduhan Asal: Nicky Liow sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022 atas 26 pertuduhan di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Permohonan Representasi: Pihak pembelaan melalui firma guaman Tetuan Rajpal, Firah & Vishnu telah mengemukakan surat representasi pada Disember 2022 dan April 2023 bagi memohon agar kesemua pertuduhan dikenakan kompaun di bawah Seksyen 92 Akta 613.
Penyelesaian dan Bayaran Kompaun: Setelah meneliti keterangan serta pertimbangan pendakwaan, AGC bersetuju menawarkan kompaun berjumlah RM10 juta yang telah dijelaskan sepenuhnya oleh Nicky Liow pada 29 Mei 2023. Penyelesaian ini turut merangkumi pelucuthakan bon sebanyak RM647,366.00 serta pelucuthakan harta-harta yang disita.
Pelepasan dan Pembebasan: Berikutan penyelesaian kompaun mengikut Seksyen 92 Akta 613, pertuduhan ditarik balik dan Mahkamah Sesyen Shah Alam telah memerintahkan Nicky Liow dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan pada 15 Jun 2023.
“Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan berasaskan hasil siasatan menyeluruh tanpa sebarang pengaruh tekanan luar atau sentimen awam,” petik kenytaan rasmi.