Pada Ogos 2025 lalu merupakan bulan terakhir buat produksi Nissan GT-R R35 selepas unit terakhir kereta sport itu keluar dari kilang di Tokyo.
Sebelum produksi tamat lagi, peminat automotif seluruh dunia sudah lama ternanti-nantikan berita baharu mengenai penggantinya, model R36.
Baca Juga:
- ‘Sayonara’ – Unit Terakhir Nissan GT-R R35 Siap Keluar Dari Kilang

- Luar Standard Myvi, Dalam Guna Kerusi GT-R

- Hilang ‘Keaslian’ Bila Jadi EV, Nissan Sahkan GT-R R36 Guna Enjin Hibrid

Baru-baru ini portal The Drive mendapat maklumat eksklusif mengenai model tersebut daripada Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Perancangan bagi Nissan Amerika Utara, Ponz Pandikuthira.
“Saya boleh katakan menjelang tahun 2028 anda akan melihat beberapa pengumuman konkrit, dan diharapkan sebelum berakhirnya dekad ini, anda akan melihat sebuah GT-R R36,” kata Ponz.
Nissan GT-R R36 adalah model serba baharu

Menurut Ponz, terdapat sekumpulan teras peminat di Jepun yang sedang mengusahakan GT-R generasi seterusnya di dalam jabatan-jabatan Nissan.
Ponz berkata bahawa R36 ‘mestilah’ menggunakan casis baharu dan ia bakal menjadi sebuah kereta yang serba baharu.
Beliau turut menyatakan bahawa rangkaian kuasa juga sebahagian besarnya adalah baharu.
“Jika terdapat rangkaian kuasa hibrid, blok enjin VR38 itu (iaitu enjin dalam R35 GT-R) sangat hebat. Mengapa anda mahu membuangnya begitu sahaja?
“Namun, mungkin cara pembakaran itu berfungsi perlu menjadi sangat berbeza. Mungkin bahagian kepala silinder sangat berbeza. Mungkin piston juga sangat berbeza. Jadi, mungkin kami perlu menukar bahagian atas,” kata Pandikuthira.

Tambah beliau, R36 akan mematuhi dan melepasi peraturan pelepasan asap Euro 7 yang ketat untuk memastikan model tersebut dapat dijual di seluruh negara.
“GT-R generasi seterusnya memerlukan tahap elektrifikasi tertentu. Jadi, adakah ia perlu menjadi sebuah kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya?
“Mungkin tidak, tetapi ia perlu mempunyai tahap elektrifikasi tertentu untuk memenuhi, serta memastikan ia kalis masa hadapan bagi aspek pelepasan asap dan keserasian,” jelas Ponz.