Ketua Reka Bentuk Global baharu Nissan, Matthew Weaver, mendedahkan bahawa model GT-R R36 kelak akan menampilkan rekaan lampu hadapan berbentuk bulat, sekali gus mengembalikan elemen gaya klasik yang sinonim dengan generasi awal jentera berprestasi tinggi itu, petik motor1.com.
Dalam satu temu bual bersama penerbitan automotif Jepun, Best Car, Weaver ditanya mengenai masa depan model utama Nissan itu yang tidak lagi dikeluarkan sejak Ogos 2025, susulan tamatnya pengeluaran unit terakhir R35.
“Jika kami menghasilkan R36, ia akan mempunyai lampu hadapan bulat. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan buat masa ini,” katanya secara ringkas sambil ketawa, memberi bayangan bahawa beliau tidak mahu mendedahkan butiran lanjut.
Pembangunan R36 Sedang Dijalankan
Petunjuk reka bentuk ini hadir ketika Nissan sedang giat membuat persediaan bagi kemunculan semula model berkenaan.
Awal tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Ivan Espinosa, mengesahkan bahawa kerja-kerja pembangunan bagi R36 sedang dijalankan dan menegaskan bahawa nama GT-R kekal sebagai sebahagian penting daripada identiti syarikat.
Sementara menantikan perkembangan lanjut, Espinosa terus memberikan jaminan kepada para peminat automotif mengenai kemunculan semula model lagenda tersebut.
“Ya, kami sedang membangunkan GT-R. Tidak banyak butiran yang boleh saya kongsikan hari ini, tetapi GT-R pasti akan kembali dengan kredibiliti dan keupayaan seperti yang sentiasa dimilikinya, kerana ia bukan sahaja ikon bagi syarikat ini, malah ikon bagi industri automotif,” katanya.