Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup badan induk badminton negara itu.

Perkembangan terkini itu disahkan oleh pemangku presiden, V Subramaniam dalam sidang media sebaik sahaja selesai mesyuarat majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara semalam.

Baca Juga:

Norza nyata tidak asing dengan badminton Malaysia dimana beliau sebelum ini memegang jawatan Presiden BAM sejak 2017 selepas menggantikan Yang Mulia Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff.

Norza pada mulanya menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan pada Disember 2023 dan digantikan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Namun, Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh memujuknya untuk terus kekal sehingga Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Akhirnya beliau melepaskan jawatan tersebut pada 24 Ogos lalu lalu V. Subramaniam yang sebelum ini bertindak selaku Timbalan Presiden I dipilih untuk memangku jawatan ditinggalkan Norza itu.

Menurut sumber laporan Bernama sebentar tadi, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi Timbalan Presidennya, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menyampaikan ucapan tahniah kepada Tan Sri Norza yang juga merupakan Presiden MOM.

“Di bawah kepimpinannya beliau menerajui pembinaan Akademi Badminton Malaysia yang tercanggih, menambah baik pentadbiran BAM dan meningkatkan tadbir urusnya.”

“Beliau juga meningkatkan kemampanan kewangannya dengan mendapatkan tawaran penajaan berjuta-juta ringgit.”

“Walaupun selepas meletak jawatan sebagai Presiden BAM, Mohamad Norza meneruskan legasinya dengan memulakan penubuhan Pusat Badminton Berprestasi Tinggi Asia,” tambah Hamidin lagi.

Sumber