Nubhan dilaporkan telah memfailkan tuntutan hadanah (hak penjagaan anak) terhadap tiga cahaya matanya hasil perkahwinan bersama isterinya, Dr. Afifah Hidayah, di Mahkamah Tinggi Syariah pada September lalu.
Menurut peguam syarie yang mewakili Nubhan, Mohd. Redzuan Ramli, anak guamnya telah memfailkan dua tuntutan — iaitu hadanah kekal dan hadanah interim.
“Hari ini selesai sebutan pertama tuntutan hadanah antara pihak kami dan peguam yang mewakili Dr. Afifah. Pihak pendaftar akan menetapkan satu tarikh baharu untuk kedua-dua belah pihak berbincang dan cuba selesaikan secara baik,” katanya – seperti dilaporkan Beautifulnara.
Namun begitu, Nubhan tidak dapat hadir ke mahkamah kerana urusan kerja, namun kekal berpendirian mahu menyelesaikan isu berkenaan dengan cara yang harmoni.
“Komunikasi antara kedua-dua pihak masih berjalan dengan baik, dan setakat ini tiada sebarang pertikaian tentang urusan anak-anak,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Dr. Afifah, Puteri Ummi Kartini, turut menegaskan bahawa kedua-dua pihak kini meletakkan kepentingan anak-anak sebagai keutamaan.
“Afifah dan Nubhan masih berkomunikasi dengan baik. Mereka boleh bertolak ansur dan berkompromi.
“Dari sudut undang-undang, kebiasaannya ibu lebih layak, namun ada beberapa faktor lain yang menyebabkan pihak bapa memfailkan tuntutan,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa anak guamnya mahu memastikan anak-anak mereka tetap mempunyai figura ibu dan bapa dalam kehidupan, walaupun berdepan kemelut rumah tangga.
Untuk rekod, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan sebelum ini mengejutkan ramai apabila memfailkan pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya.
Kes pengesahan cerai itu dijadualkan untuk sebutan semula pada 2 Disember depan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.