Trabzonspor semakin hampir merealisasikan rancangan besar mereka untuk menyatukan semula Darwin Nunez dan Mohamed Salah, selepas kedua-duanya pemain itu pernah menjadi gandingan serangan di Liverpool.
Selepas berjaya mendapatkan Salah, kelab Turkiye itu kini dilaporkan sudah mencapai persetujuan awal untuk membawa Núñez dari Al-Hilal secara pinjaman selama satu musim.
Menurut laporan media Turkiye, Sozcu, Al-Hilal sudah memberikan lampu hijau untuk perpindahan tersebut.
Apa yang menarik ialah struktur pembayaran gaji Nunez.
Penyerang Uruguay itu kini menerima gaji sekitar €22 juta (RM103 juta) setahun di Arab Saudi.
Bagi membolehkan perpindahan berlaku, Trabzonspor bersedia menanggung €8 juta (RM37 juta) daripada gaji tersebut sepanjang tempoh pinjaman.
Baki €14 juta (RM66 juta) pula akan terus ditanggung Al-Hilal.
Dengan struktur ini, Nunez sebenarnya akan menerima jumlah gaji yang lebih tinggi berbanding Salah di Trabzonspor.
Salah dilaporkan menandatangani kontrak bernilai €17 juta (RM80 juta) setahun bersama kelab Turkiye itu.
Lebih menarik, Salah sendiri dikatakan gembira dengan cadangan untuk membawa masuk bekas rakan sepasukannya itu.
Nunez dan Salah pernah beraksi bersama di Liverpool dari 2022 hingga 2025, sebelum penyerang Uruguay itu berpindah ke Al-Hilal. Dan kedua duanya membantu Liverpool menjuarai EPL pada musim pertama Arne Slot bersama The Reds.
Kini, Trabzonspor hanya perlu menyelesaikan beberapa butiran kontrak serta pemeriksaan perubatan sebelum Nunez dijangka terbang ke Trabzon untuk memuktamadkan perpindahan.
Jika berjaya, Trabzonspor bakal memiliki semula gandingan yang pernah menjadi antara kombinasi serangan paling berbahaya di Eropah — kali ini dalam saingan Liga Turkiye.