Setiap kali musim perayaan, pasti akan ada kenangan yang terkesan pada diri kita yang akan diingati sampai bila-bila.

Baru-baru ini seorang pengguna X.com berkongsi pengalamannya yang hampir kemalangan selepas pemandu Proton Saga cuai membuat tindakan melulu.

Menerusi perkongsian X.com @EazyIzzuddin, kejadian itu berlaku pada Hari Raya Pertama 2023 semasa melalui Lebuhraya Ipoh Utara.

Pada ketika itu adiknya, memandu kereta Honda HR-V terpaksa brek mengejut selepas sebuah Proton Saga berwarna hitam sedang mengundur selepas terlepas simpang.

Di dalam video berkenaan, nampak pemandu dan penumpang Proton Saga itu membuat isyarat tengan menyuruh kereta adiknya mengundur untuk memberikan laluan kepada mereka yang mahu masuk simpang susur keluar lebuhraya berkenaan.

Menurut @EazyIzzuddin yang mengekori belakang adiknya itu, berkata beliau menjadi gelabah dan blur apabila menghadapi situasi berkenaan.

Tambah beliau, model Proton X50 Flagship miliknya segera mengaktifkan ciri keselamatan AEB (Autonomous Emergency Braking) dan ADAS (Advanced Driver Assistance Systems) untuk mengelakkan perlanggaran berlaku.

“Alhamdulilah syukur ada AEB dan ADAS Proton X50 Flagship. Tahu-tahu stering bergerak sendiri dan brek kecemasan. Double signal automatik menyala kalau dalam keadaan kecemasan.

“Syukur masih diberikan beraya. Hati-hati semua semasa berada di jalan raya,” ujar @EazyIzzuddin.

Hantaran video itu telah mendapat pelbagai reaksi netizen. Ramai mengecam tindakan cuai Proton Saga terbabit yang nyaris mengundang kemalangan.

Ditambah pula kedegilan pemandu yang enggan mengalah, melambai-lambai tangan meminta kereta di belakangnya mengundur di tengah-tengah lebuhraya membuatkan ramai netizen berang.

Pada masa sama netizen turut memuji teknologi ciri keselamatan yang ada pada Proton X50 berjaya menyelamatkan banyak nyawa pada ketika itu.

Netizen turut menegaskan betapa pentingnya memiliki kereta baharu yang memiliki ciri-ciri keselamatan yang canggih dan  bermanfaat buat pengguna.

Menerusi kemas kini pukul 7.16 pagi tadi, @EazyIzzuddin sudah membuat laporan JPJ untuk tindakan susulan.