Kelab liga Belgium, OH Leuven memutuskan untuk menyambung kontrak penyerang muda skuad kebangsaan Thailand, Suphanat Mueanta dimana beliau kekal bersama kelab itu untuk tempoh semusim lagi.

Suphanat menyertai Leuven pada tahun lalu secara pinjaman dari Buriram United dengan kontrak selama satu musim dimana beliau membuat 15 penampilan dan menjaringkan satu gol.

Baca Juga:

Rentak beliau terganggu ekoran kecederaan pangkal paha yang dialami namun pengurusan kelab berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan dan beliau akan kekal sebagai pemain pinjaman untuk satu musim lagi.

“Mueanta adalah seorang pemain muda yang mempunyai banyak potensi. Dia pantas dan mempunyai kebolehan yang bagus di bahagian kaki.

“Saya gembira dia akan tinggal bersama OH Leuven selama setahun lagi. Ia memberi peluang tambahan kepada jurulatih dalam bahagian serangan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Frédéric Van den Steen.

Suphanat atau yang lebih mesra dengan panggilan Bank memulakan karier profesional pada usia 15 tahun dengan pasukan utama Buriram United.

Penyerang ini bermain sebanyak 101 perlawanan untuk Buriram, menjaringkan 24 gol dan menyumbang 15 bantuan Gol. Bank memenangi Liga Thailand tiga kali, Piala FA dua kali, Piala Liga dua kali dan Piala Juara Thailand sekali.

Selain itu, Mueanta juga menjadi pemain utama dalam pasukan kebangsaan Thailand. Pada awal musim lalu, dia dipinjamkan ke OH Leuven selama satu musim.

Selain Suphanat, seorang lagi pemain Thailand yang pernah beraksi bersama Leuven ialah bekas ketua pasukan negara itu iaitu Kawin Thamsatchanan yang baru-baru ini bersara dari arena bola sepak profesional.