OhBulan! Paling Viral Online 2.0 kembali untuk edisi kedua, memberi peluang kepada peminat untuk mengundi calon kegemaran mereka menerusi sembilan kategori yang dipertandingkan.
Edisi kali ini memperkenalkan empat kategori baharu, iaitu Penyanyi Gen Z Paling Viral, Peniaga Paling Viral, Nepo Baby Paling Viral dan Pelakon Paling Viral.
Penambahan ini memperluas skop pengiktirafan kepada penyanyi Gen Z, usahawan, individu yang mempunyai latar belakang keluarga terkenal serta pelakon yang mencuri perhatian dalam dunia hiburan dan digital.
Bagi kategori Pelakon Paling Viral, pelakon lelaki dan wanita digabungkan di bawah satu kategori untuk merebut satu gelaran pemenang sahaja.
Selain kategori baharu tersebut, peminat turut boleh mengundi dalam lima kategori sedia ada, iaitu Content Creator Paling Viral, Filem Paling Viral, Drama Paling Viral, Lagu Paling HOT dan Kelab Peminat Paling Viral.
Kesemua sembilan kategori ini memberi peluang kepada peminat untuk menunjukkan sokongan terhadap calon pilihan masing-masing menerusi undian dalam talian.
Penyertaan peminat menjadi antara elemen penting dalam menentukan siapakah yang bakal membawa pulang pengiktirafan pada edisi kali ini.
Bagi memastikan persaingan berlangsung secara berperingkat, sistem undian dibahagikan kepada dua fasa, iaitu Top 15 dan Top 5.
Fasa pertama akan menentukan 15 calon yang mara bagi setiap kategori sebelum persaingan diteruskan dalam pusingan Top 5 untuk memilih pemenang.
Fasa Top 15 berlangsung dari 2 November 2026 hingga 1 Disember 2026 bagi menentukan calon teratas setiap kategori.
Fasa Top 5 pula bermula dari 7 Disember 2026 hingga 8 Januari 2027 untuk memilih pemenang akhir.
Pemenang akan ditentukan sepenuhnya menerusi sokongan orang ramai secara dalam talian, dengan had maksimum 50 undian sehari bagi setiap pengguna.
Sementara itu, Ketua Kandungan Editorial OhBulan!, Noor Zulaikha Yusof berkata sambutan positif daripada penganjuran sulung menjadi pendorong utama kepada pelaksanaan edisi kedua ini.
“Melihat kepada maklum balas yang menggalakkan pada edisi pertama, kami mahu meneruskan OhBulan! Paling Viral Online 2.0 bagi memberi pengiktirafan kepada selebriti, pencipta kandungan, peniaga, lagu dan drama yang menjadi tumpuan ramai.
“Kami memperkenalkan empat kategori baharu bagi memberi ruang kepada lebih ramai individu untuk diiktiraf, di samping mengekalkan kategori khas buat peminat sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan mereka. Kami percaya dengan sokongan semua, edisi kali ini akan memberi impak yang lebih besar,” katanya.
Pemenang akan diumumkan secara langsung menerusi akaun TikTok rasmi OhBulan! pada 15 Januari 2027, jam 9:00 malam.
Kempen promosi ini turut merangkumi pelbagai platform, termasuk TikTok, YouTube, audio siar Show Dalam Bilik, pengiklanan digital dan penerbitan artikel di portal.
Selain itu, program ini turut mendapat sokongan menerusi kerjasama strategik dengan program bual bicara TV3 seperti Malaysia Hari Ini dan Wanita Hari Ini, serta sesi temu bual bersama stesen radio Hot FM dan Kool 101.
Peminat boleh menggunakan tanda pagar rasmi #ohbulanpalingviralonline2.0 di media sosial. Maklumat lanjut dan proses undian boleh diakses menerusi laman rasmi di ohbulan.com/ohbulanpalingviralonline2.0.