Industri pelancongan melihat cahaya kutub atau Northern Lights di utara Norway kini berkembang dengan sangat pesat, namun ia turut mengundang kemunculan ramai pengusaha haram yang tidak bertanggungjawab.
Sejak bulan September tahun lalu, seramai 12 orang warga asing terdiri dari Malaysia dan China telah diusir keluar dari Norway (deportasi) kerana didapati menjalankan perkhidmatan membawa pelancong tanpa permit kerja yang sah.

Sepanjang musim cahaya kutub (northern lights) atau aurora setakat ini, seramai tujuh warga Malaysia dan tiga warga China telah diusir dari wilayah Nordland, manakala dua lagi warga China telah diusir dari wilayah Troms lapor media rasmi Norway, NRK.
Didenda sebanyak 60,0000 kroner
Selain diusir, mereka juga dikenakan denda yang tinggi mencecah 60,000 kroner bersamaan RM25,000, malah pihak berkuasa turut merampas wang keuntungan haram yang diperoleh daripada aktiviti tersebut.
Isu ini menjadi serius kerana melibatkan jumlah wang yang sangat besar di mana kos satu pakej lengkap termasuk penginapan dan kenderaan boleh mencecah lebih 100,000 kroner bersamaan RM42,000.
Menurut pihak polis dan Pusat Jenayah Pekerjaan (A-krim), modus operandi mereka cukup mudah iaitu hanya dengan menyediakan kenderaan besar seperti SUV dan pemandu, mereka sudah berani menawarkan pakej safari Northern Lights secara haram.
Kebanyakan mereka bergerak melalui kumpulan tertutup di media sosial, menyewa penginapan rorbu (kabin nelayan), dan mengambil pelancong terus dari jalanan terutamanya di kawasan Tromsø, Lofoten, dan Ofoten.
Hasil pemeriksaan pihak berkuasa mendapati lebih separuh daripada operator yang diperiksa telah melanggar pelbagai undang-undang kerja dan cukai.
Kebanyakan mereka dikesan masuk ke Norway menggunakan kereta sewa dari sempadan Sweden dan Finland.
Sebagai tindakan tegas, sesiapa yang diusir akan disenaraihitamkan dan dilarang masuk ke Norway serta seluruh kawasan Schengen dan Kesatuan Eropah (EU) selama dua tahun.
Langkah penguatkuasaan bersepadu antara polis, jabatan cukai, dan jabatan buruh ini terus diperketatkan bagi memastikan keselamatan pelancong dan melindungi kedaulatan undang-undang negara tersebut.