Selepas berjaya menjadi pilihan para pengguna menerusi model terdahulunya, kini OPPO Enco Buds2 Pro kembali dengan lebih banyak penambah baikan yang bakal memberikan satu pengalaman yang mengujakan.
Enco Buds2 Pro kali ini menampilkan pembaharuan termasuklah dari segi rekaan dan juga prestasi secara keseluruhannya. Kami juga diberi peluang mencuba sendiri fon telinga terbaharu Oppo tersebut dan inilah pandangan kami terhadapnya.
Rekaan dan keselesaan
Dari segi luaran, Enco Buds2 Pro tampil dengan rekaan yang lebih ergonomik yang mana menjadikan fon telinga itu senang dipakai serta selesa untuk penggunaan jangka masa panjang. Salah satu penyumbang kepada keselesaan juga adalah kerana beratnya serendah 0.1g sahaja.
Malah, fon telinga ini datang dengan reka bentuk bucu berbentuk bulat serta kerangka yang sleek sekaligus kelihatan estetik dalam masa yang sama terasa sedap untuk dipegang.
Selain itu, fon telinga ini juga mempunyai panel sensitif sentuhan pada bahagian luar yang mana terbukti sangat responsif untuk menukar lagu dan seumpamanya.
Ditambah pula rekaan pod pengecas yang kompak, ia menjadikan fon telinga ini mudah dimasukkan ke dalam poket lalu dibawa kemana sahaja.
Kualiti audio
Enco Buds2 Pro didapati menunjukkan ‘keistimewaannya’ dengan penggunaan pemandu audio 12.4mm yang mana bakal menghasilkan bunyi bass yang lebih jelas, mendalam dan punchy.
Dalam masa sama, penambah baikan pemacu pada kali ini berjaya menghasilkan audio lebih seimbang dan kuat sekaligus meningkatkan pengalaman mendengar audio menerusinya.
Oleh sebab itu, kami sendiri memang berpuas hati dengan prestasi audio yang dihasilkan tidak kiralah untuk mendengar musik, menonton filem atau menjawab panggilan menerusinya.
Fungsi Active Noise Cancellation
Oppo turut menyertakan fungsi ANC pada fon telinga kali ini yang mana sangat membantu dalam menyekat bunyi bising pada latar belakang dan memberikan pengalaman audio yang lebih imersif menerusinya.
Fon telinga terbaharu ini menggunakan sistem dwi-mikrofon untuk menganalisis dan membatalkan bunyi hingar, sekaligus membolehkan anda menfokus kepada muzik atau menjawab panggilan.
Setakat bunyi frekuensi rendah seperti bunyi kipas atau penyaman udara masih boleh ditapis dengan baik. Ditambah pula dengan sokongan AI Clear Call Algorithm yang mampu menambah baik kualiti panggilan ketika digunakan.
Jangka hayat bateri
Seperti yang dihebahkan oleh pihak OPPO, Enco Buds2 Pro ini mampu beroperasi sehingga 8 jam secara berterusan dengan fon telinga sendiri dan boleh mencapai 38 jam bersama pod pengecasnya.
Dengan sekali pengecasan sahaja, kami sendiri mendapati fon telinga ini memang boleh beroperasi dalam tempoh jangka masa panjang. Prestasi baterinya memang layak dipuji kerana sudah setaraf dengan fon telinga yang lebih premium di dalam pasaran.
Terdapat beberapa ciri menarik lain yang memang menjadi highlight pada fon telinga ini terutamanya proses tambatan yang cukup pantas yang dibuat menerusi Bluetooth 5.3 di mana sambungan tampil lebih stabil dan lancar bahkan mempunyai kemampuan kalis air IP55 menjadikan ia sesuai dibawa bersenam.
Berbaloikah untuk dibeli?
OPPO Enco Buds2 Pro merupakan antara fon telinga TWS bajet terbaik yang anda boleh dapatkan di pasaran hari ini. Hal ini kerana penawaran kualiti audio yang baik di samping mempunyai rekaan yang premium.
Buat anda yang berminat, bolehlah dapatkan di Shopee atau Lazada pada harga RM169 sahaja. Fon telinga OPPO terbaharu ini nampaknya sekali lagi berjaya menepati citarasa para peminat yang mahukan sesuatu yang berkualiti dengan harga berpatutan.