Tiada negara di dunia ini yang tidak terlepas dari membuat kesilapan. Bandar Ordos di China ini adalah bandar ‘hantu’ paling besar di dunia. Ordos terletak di sempadan negara Mongolia dan China dan bandar ini merupakan antara bandar pengeluar arang batu terbesar di China.
Ordos adalah pelan bandar moden China, merangkumi kawasan seluas 137- batu persegi. Ianya penuh dengan bangunan tinggi, bangunan futuristik, stadium sukan yang moden dan taman yang cantik. Masalah timbul apabila tidak ramai yang mahu menetap di Ordos.
Kerajaan China membina ratusan bandar baru sejak 3 dekad yang lalu dengan harapan bandar-bandar ini akan menjadi tempat tinggal yang baru bagi penduduk China.
Tetapi bukan mudah untuk membina sesebuah bandar baru dan menjangkakan penduduk sekitar untuk berpindah ke tempat tersebut. Tidak ramai yang mahu tinggal di tempat yang ‘mati’. Ordos atau Kangbashi boleh menempatkan 500,000 penduduk tetapi hanya 100,000 penduduk sahaja yang mendiami bandar ini.
Hal ini disebabkan cukai tanah yang tinggi dan binaan bangunan yang tidak berkualiti membuat penduduk berfikir banyak kali sebelum berpindah ke Ordos. Kini, majoriti bangunan di bandar Ordos tidak berpenghuni kerana penduduk sekitar tidak rasa berbaloi untuk berpindah ke Ordos.
Raphael Oivier, jurugambar yang merakam gambar-gambar di sekitar Ordos ini mengambarkan tempat itu sebagai satu pembaziran. “Bandar ini benar-benar macam bandar tinggal dalam filem fiksyen sains,” kata Raphael. Siri gambar-gambar ini adalah dari karya beliau, ‘Ordos- A Failed Utopia’.
Bandar Ordos adalah salah satu kesilapan percaturan kerajaan China di mana mereka merasakan Ordos mempunyai potensi untuk berkembang tetapi ianya tidak berlaku.
Banyak usaha yang dilakukan kerajaan China untuk ‘mengisi’ bandar ini antaranya memindahkan bangunan kerajaan dekat dengan Ordos supaya penjawat awam lebih dekat untuk pergi ke tempat kerja, memberi insentif kepada petani jika mereka berpindah ke Ordos dan juga memindahkan sekolah reputasi tinggi ke Ordos supaya ibu bapa akan menghantar anak mereka untuk belajar di sana.
Ada yang berpendapat kerajaan China menyembunyikan angka sebenar penduduk di Ordos kerana tidak mahu dunia tahu tentang kegagalan perancangan bandar ini. Bagi saya, bandar Ordos ini tidak ubah seperti Putrajaya, versi yang tidak siap.
Jika anda mahu lihat gambar lain bandar ini, boleh ke website Raphael di sini.
Baca : Jurugambar Ini Rakam Sisi Moden Paris Yang Dilupakan