Niat asal mungkin sekadar mahu bergurau atau mencuba teknologi terkini, namun perbuatan seorang lelaki berusia 30 tahun akhirnya membawa padah.

Dia bakal dihadapkan ke mahkamah pada Selasa (29 Sep) selepas tindakan menghasilkan gambar buaya palsu menggunakan kecerdasan buatan (AI) mencetuskan kekecohan di Kolam Air Pandan di Singapura.

Gempar Di Kolam Air Pandan

Segalanya bermula pada 20 Ogos lalu apabila Agensi Air Negara (PUB) menerima maklumat mengenai kelibat seekor buaya di kawasan berkenaan.

Langkah berjaga-jaga terus diambil serta-merta dengan menangguhkan semua aktiviti air demi keselamatan awam.

Bukan itu sahaja, pihak PUB bersama Lembaga Taman Negara (NParks) turut mengerahkan pasukan bagi memulakan operasi pencarian dan penangkapan.

Namun, suasana cemas itu bertukar tanda tanya apabila foto berkenaan disahkan palsu, lalu laporan polis dibuat pada hari berikutnya.

Cuba Padam Jejak Selepas Tular

Menurut laporan CNA, hasil siasatan awal pihak polis mendapati lelaki tersebut mereka imej buaya tiruan menggunakan aplikasi AI sebelum menghantarnya kepada seorang rakan sekerja.

Apabila menyedari kesannya, dia cuba melenyapkan bukti bagi mengelak tindakan.

“Lelaki itu kemudiannya memadam gambar berkenaan serta aplikasi berkaitan dalam percubaan untuk menyembunyikan perbuatannya,” kata pihak polis dalam satu kenyataan pada Isnin.

Berdepan Hukuman Penjara Dan Denda

Kini, lelaki tersebut bakal berdepan dua pertuduhan berat iaitu menyebarkan mesej palsu dan menghalang laluan keadilan.

Jika disabitkan kesalahan menyebarkan mesej palsu, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000 (kira-kira RM31,900), atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan menghalang laluan keadilan pula, hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.

Amaran Tegas Pihak Polis

Pihak polis menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil tanpa ragu-ragu terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat tidak benar. Selain mencetuskan rasa takut dan kesusahan kepada awam, perbuatan itu turut membazirkan sumber pihak berkuasa yang terpaksa dikerahkan ke lokasi.

“Orang ramai digesa untuk bertindak lebih bertanggungjawab dan tidak menyebarkan maklumat palsu atau gambar yang diubah suai yang boleh mencetuskan keresahan awam,” tegas pihak polis.

Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengemukakan sebarang maklumat palsu atau imej manipulasi AI kepada pihak polis mahupun agensi kerajaan lain dengan menyajikannya seolah-olah ia maklumat sah.