Kerajaan Negeri Terengganu bercadang untuk menguatkuasakan etika pakaian patuh Syariah di negeri mereka terutama membabitkan pelancong asing.

Bagi memastikan pelancong khususnya warga asing mematuhi etika berpakaian, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pengusaha pelancongan, aspek pemantauan dan penguatkuasaan.

Menurut laporan Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Terengganu, Datuk Razali Idris memberi bayangan bahawa pelaksanaan ini akan dikuatkuasakan di pulau pelancongan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang menjadi tumpuan pelancong antarabangsa.

“Etika pakaian mesra syariah bermula di semua pintu masuk ke negeri ini. Kita juga akan meletakkan papan tanda tentang adab ini di semua pintu masuk ke Terengganu,” katanya.

Cadangan ini hadir selepas ADUN Ladang, Zuraida Md Noor menggesa kerajaan negeri memperkasakan penguatkuasaan pakaian mesra Syariah dalam usaha membina persefahaman dengan pengunjung luar berhubung etika berpakaian.

Beliau turut berkongsi rasa marah apabila pelancong yang beragama Islam turut berani melanggar Garis Panduan Pelancongan yang ditetapkan kerajaan negeri kerana masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan garis panduan itu, selain penguatkuasaan yang lemah.

Bagaimanapun, Ti Lian Ker, bekas timbalan menteri perpaduan berharap langkah Terengganu memastikan pelancong beragama Islam mematuhi kod pakaian patuh syariah tidak akan menjejaskan hak dan kebebasan golongan bukan Islam.

Beliau merasakan bahawa kerajaan negeri tidak perlu terlalu ‘bersemangat’ dan berharap apa yang terjadi di Kelantan sebelum ini – seorang wanita bukan Islam disaman kerana berpakaian kurang sopan – tidak akan berulang.

“Saya harap mereka tidak terlalu ‘bersemangat’ melaksanakan dasar itu,” katanya kepada FMT.

“Ini tidak bagus untuk imej negeri itu, atau industri pelancongan kita. Contohnya, berseluar pendek menjadi suatu kebiasaan bagi ramai pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya dalam keadaan cuaca negara ini.”