Pakar bahasa dari Malaysia, Profesor Awang Sariyan, telah menafikan dakwaan yang dibuat di internet bahawa belia Singapura tidak fasih dalam bahasa Melayu.

Sebelum ini timbul perbincangan mengenai kecekapan remaja Singapura dalam Bahasa Melayu selepas sebuah video dari BERITA Mediacorp memuat naik satu kandungan temuramah bertanya tahap kecekapan remaja Singapura dalam berbahasa melayu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kebanyakan daripada mereka yang disoal menjawab bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa pilihan mereka, memetik kelaziman penggunaan bahasa tersebut dalam pelbagai aspek kehidupan mereka.

Prof Awang dalam Yahoo News tampil menjelaskan akar punca isu ini bahawa rakyat Singapura menggunakan bahasa inggeris hampir dalam keseluruhan kehidupan mereka.

“Isu anak muda Melayu di Singapura yang dianggap tidak mahir berbahasa Melayu harus dikaji bagi mengelak bergantung kepada andaian semata-mata.

“Secara amnya, isu ini timbul kerana bahasa utama untuk urusan pentadbiran, pendidikan, perniagaan, media, malah komunikasi ialah bahasa Inggeris.

“Walaupun benar bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan salah satu daripada empat bahasa rasmi Singapura, bahasa Inggeris lebih dominan di negara ini.

“Bidang utama kehidupan yang saya sebutkan. Memandangkan konteks ini, isu itu berlaku secara semula jadi,” katanya.

Bagaimanapun, Prof Awang menegaskan bahawa usaha telah dilakukan oleh kerajaan Singapura untuk mengangkat martabat dan penggunaan bahasa Melayu.

Beliau berkata penubuhan Pusat Bahasa Melayu Singapura di bawah Kementerian Pelajaran, kehadiran Ahli Parlimen yang menggunakan bahasa Melayu semasa sidang parlimen, dan kefasihan Perdana Menteri berbahasa Melayu semasa acara rasmi disebut sebagai contoh usaha ini.

Prof Awang turut menekankan peranan penting ibu bapa dan keluarga dalam memupuk penguasaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan generasi muda.