Pakar memberi peringatan kepada rakyat Malaysia dan pemimpin kerajaan untuk bersiap sedia menghadapi risiko gempa bumi. Peringatan ini hadir selepas beberapa siri gempa bumi yang berlaku di Turki, Jepun dan Indonesia dalam tempoh dua bulan yang lalu.

Menerusi laporan Sinar Plus, Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Seismologi dan Gempa Bumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Azlan Adnan melihat bahawa rantau Asia Tenggara berisiko untuk mengalami gempa bumi berskala besar.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Walaupun gempa bumi di Turki dan Syria tidak menjejaskan kejadian gempa di negara ini, tetapi bagi Dr Azlan kejadian gempa yang berlaku di negara jiran Indonesia dan Jepun boleh menjejaskan aktiviti Lingkaran Api Pasifik dan seterusnya meningkatkan kemungkinan berlakunya gempa bumi di Malaysia.

Tambah beliau lagi, melihat kepada situasi semasa, gempa bumi kuat sehingga 9.5 magnitud berisiko melanda pulau Sumatera. Malah di Malaysia pula, kawasan semenanjung dijangka mengalami gempa bumi sehingga 6 magnitud dan di Sabah pula boleh mencapai sehingga 7 magnitud.

Bagi pakar geologi di Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Felix Tongkul melihat kebanyakan gempa bumi kuat yang berisiko berlaku di Indonesia dan Filipina boleh memberi kesan kepada negeri Sabah kerana negeri itu terletak pada plat bumi yang kurang stabil dan hampir dengan plat bumi yang tidak stabil dari Filipina.

“Gempa bumi besar di Indonesia dan Filipina misalnya tidak menghasilkan pergerakan plat bumi yang ketara untuk menghasilkan gempa bumi besar di Malaysia. Tetapi gempa bumi kuat dari Indonesia dan Filipina yang terletak berhampiran Sabah (contohnya di Laut Sulu atau Laut Sulawesi) boleh mencetuskan pergerakan bumi di Sabah yang mungkin mengakibatkan gempa bumi besar,” katanya.

Oleh hal yang demikian, Dr Azlan melihat persediaan untuk menghadapi gempa bumi yang lebih besar perlu dititikberatkan oleh semua pihak. Selain menilai semula bangunan lama, beliau juga mencadangkan agar semua bangunan yang bakal dibina mengikut garis panduan kalis gempa yang diterbitkan apda 2017.

Pihak berkuasa tempatan juga boleh menguatkuasakan pematuhan undang-undang reka bentuk gempa bumi dan menghasilkan peta risiko gempa bumi untuk perancangan pembangunan di masa hadapan.

Bagi Dr Felix pula, “Peningkatan kesedaran orang ramai terhadap risiko gempa bumi serta persiapan sebelum, semasa dan selepas gempa bumi perlu dipergiatkan dan diadakan secara berterusan terutama bagi masyarakat terjejas di Sabah.

“Pada masa sama, pematuhan kod reka bentuk bangunan tahan gempa sedia ada perlu dikuatkuasakan dan dipantau terutama di kawasan berisiko tinggi,” katanya.