Kuasa ‘bawang’ atau suara keramat netizen Malaysia nampaknya sekali lagi membuktikan impaknya di pentas digital dunia.

Terbaru, akaun Instagram milik aktivis Rohingya kontroversi, Noor Azizah, didapati telah bertukar status kepada mod peribadi (private). Tindakan drastik ini disifatkan oleh pakar sebagai isyarat jelas bahawa tekanan padu daripada rakyat Malaysia benar-benar memberi kesan mendalam terhadap dirinya.

Berdasarkan laporan Harian Metro semalam, gelombang kritikan ini bermula selepas Noor Azizah menyampaikan sebuah ucapan yang mengundang kemarahan ramai dalam satu acara anjuran Marie Claire Australia.

Tidak sekadar mengecam di ruangan komen, netizen Malaysia mengambil langkah proaktif dengan mengemukakan aduan rasmi kepada pihak penganjur anugerah, kerajaan Australia, sehinggalah ke institusi pengajian tinggi.

Isyarat Jelas Tekanan Rakyat Menjadi

Pakar Dedah Aktivis Rohingya Noor Azizah Didakwa Terima Suntikan Dana Luar Untuk Burukkan Malaysia
Sumber Gambar: Sistem UKM

Mengulas mengenai fenomena ini, Profesor Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Salawati Mat Basir, menjelaskan bahawa tindakan menukar tetapan privasi akaun media sosial tersebut bukanlah sesuatu yang kebetulan. Ia adalah bentuk ‘pertahanan’ apabila individu terbabit tidak lagi mampu mendepani kecaman yang bertali-arus.

“Kalau kita tengok, selepas dia mengutuk kita, ramai orang menyerangnya di media sosial, termasuk membuat aduan kepada Marie Claire, kerajaan Australia dan platform media sosial yang berkaitan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau turut menambah bahawa tindakan tegas daripada masyarakat tempatan amat perlu bagi menyekat naratif negatif yang sengaja dijaja di luar negara demi keuntungan peribadi.

“Dia (Noor Azizah) tidak tahan dengan tekanan itu, sebab itulah dia bertindak menjadikan akaun media sosialnya sebagai akaun peribadi. Kalau kita biarkan sahaja, dia akan terus memburukkan Malaysia kerana dia mendapat keuntungan dengan berbuat demikian,” tambah beliau lagi.

Strategi Geopolitik Dan Dana ‘Misteri’

Bukan sekadar isu di permukaan, Prof Salawati turut mendedahkan aspek yang lebih mendalam mengenai bagaimana figura seperti Noor Azizah ini mampu bertahan dan mendapat tempat di persada antarabangsa.

Terdapat dakwaan bahawa individu berkenaan mempunyai talian hubungan dengan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia yang menerima suntikan dana daripada pihak yang disifatkan sebagai pro-Zionis.

“Apabila saya melihat maklumat yang dihantar kepada saya, ia kelihatan masuk akal. Pada pandangan saya, individu seperti ini memperoleh dana melalui cara sedemikian.

Sebab itu mereka diberi ruang dan pengiktirafan. Itu adalah taktik yang biasa digunakan,” ulasnya mengenai rantaian dana tersebut.

Menurut beliau, gerakan seumpama ini biasanya digerakkan dalam strategi geopolitik untuk memburukkan imej sesebuah negara, sekali gus mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.

Apabila isu ini diketengahkan, masyarakat antarabangsa akan lebih bersimpati, yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk jemputan program dan dana kewangan yang lumayan.

Komuniti Rohingya Sendiri Tampil Menafi

Apa yang menariknya, naratif perjuangan kemainan yang dibawa oleh Noor Azizah ini nampaknya tidak diiktiraf oleh bangsanya sendiri di perantauan. Prof Salawati mendedahkan bahawa beliau sendiri telah dihubungi oleh komuniti pelarian Rohingya yang menetap di Australia untuk menceritakan perkara sebenar.

“Saya dihubungi oleh komuniti Rohingya di Australia. Mereka mendakwa dia tidak membantu mereka, malah mengasingkan dirinya daripada komuniti Rohingya di sana. Jadi, di manakah bantuan yang dikatakan itu? Pada pengetahuan saya, tidak ada.”

Melihat kepada situasi semasa, Prof Salawati sempat melontarkan persoalan sinis yang wajar difikirkan bersama mengenai keikhlasan agenda yang dibawa oleh aktivis berkenaan:

“Tindakan Noor Azizah menjadikan akaun Instagram miliknya sebagai akaun peribadi menunjukkan tekanan daripada rakyat Malaysia memberi kesan. Kalau dia benar-benar berani dan ikhlas dengan pendiriannya, mengapa dia perlu menjadikan akaunnya sebagai akaun peribadi?”

Kesan Rantaian Hingga Ke Universiti Sydney

Ternyata, ‘serangan’ netizen Malaysia bukan sekadar tertumpu pada akaun Instagram peribadi beliau semata-mata.

Kesedaran tinggi rakyat Malaysia menyaksikan video ucapan lama Noor Azizah sewaktu majlis graduasinya di University of Sydney turut tular kembali dan dihujani aduan rasmi daripada netizen.

Pihak universiti terkemuka di Australia itu juga dilaporkan terkejut dan menerima tempias impak daripada gelombang digital ini.

Kata Prof Salawati, institusi barat mungkin sama sekali tidak menjangkakan bahawa tindak balas serta solidariti masyarakat Asia, khususnya Malaysia, mampu menjadi sepadu dan sekuat ini apabila maruah negara mereka cuba dicalar.