Pakar perumahan menggesa kerajaan memperkenalkan cukai kekosongan (vacancy tax) sebagai langkah untuk menangani peningkatan rumah tidak berpenghuni dan tidak terjual, serta menurunkan harga hartanah dengan mengurangkan aktiviti spekulasi.

Memetik Free Malaysia Today, banyak unit rumah ‘mampu milik’ sebenarnya dibiarkan kosong oleh pemilik atau pelabur, menjadikan pembeli sebenar sukar untuk memiliki rumah.

Baca Juga:

Menurut K Theebalakshmi, penyelidik dari Khazanah Research Institute, cukai ini boleh mencegah spekulasi dan mendorong pemaju membina rumah mengikut keperluan sebenar, sekali gus mengurangkan lambakan dan menyokong pembangunan perumahan yang lebih seimbang.

Pakar Gesa Rumah Kosong, Hartanah Tidak Terjual Dikenakan 'Cukai Kekosongan'
Sumber Gambar: RumahSelangorKu

“Harga rumah di Malaysia meningkat sebanyak 5.8% setahun antara 2010 hingga 2022, jauh melebihi kadar pertumbuhan sihat iaitu 3% hingga 4%,” katanya.

Menurut beliau lagi, walaupun ada kebimbangan tentang kemungkinan harga rumah atau kadar sewa jatuh, pembetulan pasaran melalui cukai kekosongan mungkin langkah yang diperlukan untuk menjadikan sektor perumahan lebih adil dan stabil.

Pakar Gesa Rumah Kosong, Hartanah Tidak Terjual Dikenakan 'Cukai Kekosongan'
Sumber Gambar: Krinstitute.org

“Di negeri-negeri yang sangat bandar seperti Selangor dan Pulau Pinang, di mana kadar kekosongan dan lambakan unit tinggi, cukai ini boleh mengelakkan pemilik memegang unit hanya untuk keuntungan segera,” tambahnya.

Data Jabatan Perangkaan menunjukkan hampir 20% rumah di Selangor dan Pulau Pinang tidak berpenghuni pada tahun 2020.

Di Pulau Pinang, lebih 53,000 unit rumah kosong, menunggu untuk dijual atau disewa.

Di Selangor, sebanyak 343,562 rumah dilaporkan kosong, dengan kira-kira 197,065 daripadanya baru siap atau belum diduduki.Setakat pertengahan 2024, terdapat 22,642 unit rumah siap dibina tetapi belum terjual melebihi sembilan bulan, menurut Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC). Nilai keseluruhan unit overhang ini dianggarkan mencecah RM14.24 bilion.

Contoh negara laksana cukai kekosongan

Menurutnya lagi, Theebalakshmi menyatakan bahawa beberapa negara seperti Kanada, Australia dan Singapura telah melaksanakan cukai kekosongan atau cukai tambahan ke atas hartanah yang tidak diduduki pemilik.

Di Vancouver, Kanada, cukai sebanyak 3% dikenakan ke atas rumah yang dibiarkan kosong lebih enam bulan.

Di Melbourne, Australia, sistem cukai bertingkat digunakan – bermula dengan 1% pada tahun pertama, dan meningkat pada tahun-tahun berikutnya.

Sementara di Singapura pula, kadar cukai lebih tinggi dikenakan ke atas rumah yang tidak diduduki oleh pemilik sendiri.

Cukai kekosongan kurangkan spekulasi hartanah

Dekan Sekolah Perumahan, Bangunan dan Perancangan di Universiti Sains Malaysia, Azree Othuman Mydin, berkata bahawa cukai kekosongan (vacancy tax) boleh mengurangkan aktiviti flipping dan penyorokan hartanah, terutamanya bagi unit-unit dalam lingkungan harga RM300,000 hingga RM500,000.

Azree turut mencadangkan supaya cukai keuntungan harta tanah (real property gains tax) dinaikkan untuk mereka yang menjual unit mereka terlalu awal, dengan alasan langkah ini akan menjadikan penjualan semula secara pantas kurang menarik dan membantu membendung aktiviti flipping.

Pakar Gesa Rumah Kosong, Hartanah Tidak Terjual Dikenakan 'Cukai Kekosongan'
Sumber Gambar: USM

Selain larangan menyewakan atau memajak unit perumahan mampu milik dalam tempoh sewaan minimum kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa tempatan, beliau juga mencadangkan agar pembeli yang membiarkan unit perumahan mampu milik kosong tanpa alasan munasabah boleh dihalang daripada membeli unit perumahan kerajaan pada masa hadapan.

“Kalau kita nak rumah sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, kita kena hentikan budaya jadikan rumah sebagai alat dagangan,” katanya.