Pada awal bulan ini, Kementerian Komunikasi Digital Malaysia telah memperkenalkan Pakej 5G Rahmah yang membolehkan semua rakyat Malaysia untuk mendaftar pelan pascabayar 5G pada harga RM60 dengan had data bulanan 60GB.

Kini pihak KKD melancarkan Pakej 5G Rahmah dengan berkongsi maklumat lebih terperinci termasuklah penawaran telefon pintar dan pelan data 5G pada harga jauh lebih murah berbanding di dalam pasaran.

Baca Juga:

Sumber Gambar: FB Fahmi Fadzil

Pakej itu merangkumi telefon pintar 5G yang ditawarkan dengan potongan harga lebih 75 peratus berbanding harga pasaran, berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60GB.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata Pakej 5G RAHMAH terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan ditawarkan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember depan.

Menerusi pakej terbaharu ini, syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (Unifi Mobile) dan YTL Communications (YES) bakal menawarkan pakej telefon pintar bersama kontrak langganan pelan pascabayar selama 24 bulan.

Katanya, bagi 100,000 pelanggan daripada golongan B40 terawal pula layak mendapat subsidi tambahan sebanyak RM120 ke atas harga telefon pintar yang ditawarkan syarikat telekomunikasi.

Terdapat dua pilihan telefon pintar yang anda boleh dapatkan menerusi Pakej 5G Rahmah ini iaitu Samsung A14 5G atau Honor 90 Lite 5G pada harga RM240 berbanding harga pasaran rasmi.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi juga boleh menyediakan harga telefon pintar lebih rendah atau pelan pascabayar yang lebih baik berdasarkan promosi jualan masing-masing.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, telefon pintar yang ditawarkan menerusi Pakej 5G Rahmah itu turut disertakan tempoh waranti selama 24 bulan, sama dengan tempoh kontrak, berbeza berbanding kebiasaan yang mana waranti hanya 12 bulan.

Malah, ada dalam kalangan syarikat telekomunikasi memaklumkan sedia menawarkan Pakej 5G Rahmah dengan harga serendah RM35 untuk data 100GB berserta peranti 5G.

Orang ramai yang berminat untuk mendaftar di bawah Pakej 5G Rahmah boleh berbuat demikian secara bersemuka di pusat jualan syarikat telekomunikasi atau dalam talian di laman sesawang syarikat berkenaan.

Sumber