Pakej Perpaduan Prabayar merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam menawarkan pelan internet yang lebih murah buat golongan B40. Setelah diumumkan pada minggu lalu, kini syarikat pengendali telekomunikasi umumkan bakal perkenalkan pelan ini mulai 28 Februari ini.

Kesemua syarikat pengendali telekomunikasi di Malaysia telah menyatakan tawaran pakej ini akan ditawarkan untuk dilanggan sehingga 31 Disember 2023 kelak.

Menerusi Pakej Perpaduan, penyedia telekomunikasi akan menawarkan pelan dengan kelajuan sekurang-kurangnya 3Mbps bersama kuota data 30GB pada harga RM30 dan boleh digunakan selama enam bulan. Secara kiraan kasarnya, anda hanya membelanjakan sekitar RM5 sebulan untuk penggunaan pelan ini.

Sesiapa yang berminat untuk melanggan pelan ini, bolehlah rujuk laman telco masing-masing bermula 28 Februari ini. Di samping pakej prabayar, kerajaan juga telah mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap yang turut memberikan internet berkelajuan tinggi pada harga serendah RM69 sahaja.