Tindakan seorang ahli politik yang mahu ketua pasukan Argentina, Lionel Messi meminta maaf ekoran keraian kem La Albiceleste  sambil menyanyikan (chant) berbaur perkauman jelas memakan diri.

Seperti yang tular baru-baru ini, Enzo Fernandez menyiarkan ‘Live Instagram’ bagi meraikan kejayaan menjuarai Copa America 2024 yang menyaksikan skuad kendalian Lionel Scaloni itu menewaskan Colombia 1-0 hasil jaringan kemenangan oleh Lautaro Martinez.

Baca Juga:

Gembira dengan kejayaan bermakna tersebut, Enzo telah membuat siaran langsung di laman Instagramnya dan menyaksikan beliau dan beberapa rakan sepasukan menyanyikan lagu diskriminasi yang mempersoalkan warisan Kylian Mbappe dan rakan senegaranya dari Perancis.

Susulan dengan perkara itu, Timbalan Menteri Sukan Argentina, Julio Garro mahu Messi meskipun legenda hidup itu tidak terlibat dengan kontroversi perkauman tersebut agar meminta maaf atas perlakuan anak-anak buahnya.

Keadaan tersebut bagaimanapun jelas tidak disenangi Presiden Argentina, Javier Milei yang dengan serta-merta membuat keputusan drastik dalam memecat menterinya itu.

“Pejabat Presiden menyatakan bahawa kerajaan tidak mempunyai hak untuk memberitahu pasukan kebangsaan Argentina yang merupakan juara dunia dan juara Copa America berganda, atau mana-mana warganegara lain, apa yang perlu dikomenkan, apa yang perlu difikirkan, dan apa yang perlu dilakukan.”

“Justeru itu, Julio Garro tidak lagi menjadi timbalan menteri sukan,” ujar Milei menurut sumber laporan Goal.

Walaupun Enzo Fernandez telah meminta maaf kerana memuat naik video dan menyertai sorakan itu, Chelsea telah memulakan tindakan disiplin terhadapnya.

Manakala Persatuan Bola Sepak Perancis juga telah mengadukan perkara ini kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang.