Persatuan Bola Sepak Palestine (PFA) memberi penjelasan mengapa mereka memilih Malaysia sebagai venue untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Jordan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dipilih sebagai venue untuk perlawanan yang akan berlangsung pada 10 September ini.

Baca Juga:

Menurut PFA, ada beberapa sebab mengapa mereka memilih Malaysia sebagai venue alternatif untuk kempen kelayakn kali ini.

“Kami telah lama mempertahankan hak kami untuk bermain perlawanan ini di tempat sendiri, menegaskan komitmen kami kepada pemain, peminat, dan semangat bola sepak kami, terutamanya memandangkan keadaan semasa yang dihadapi rakyat kami, termasuk pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di Gaza dan pendudukan haram Palestin.

“Kami melihat bola sepak sebagai kenderaan untuk mewakili identiti kebangsaan Palestin dan mengesahkan perpaduan rakyat Palestin, di mana sahaja mereka berada.

“Berdasarkan realiti ini, kami telah memutuskan untuk bermain perlawanan pertama kami menentang Jordan pada 10 September di Malaysia. Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada negara yang menawarkan untuk menganjurkan perlawanan di tempat sendiri, termasuk Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Algeria, Malaysia, Indonesia dan Qatar.

“Malaysia dipilih kerana kedudukan geografinya yang hampir dengan perlawanan pertama kami menentang Korea, bersama-sama dengan hubungan persaudaraan kami yang mendalam dan sokongan padu yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia secara konsisten untuk perjuangan Palestine.

“Tambahan pula, Malaysia tidak bersaing untuk merebut tempat di Piala Dunia pada peringkat ini, memastikan keadilan dan rasa hormat terhadap pasukan lain dalam kumpulan kami, PFA memilih venue alternatif.

“Di PFA, kami komited untuk mempamerkan semangat rakyat kami melalui bola sepak, dan dengan sokongan komuniti sukan global, kami menyasarkan untuk layak ke Piala Dunia dengan penghormatan dan keazaman.

“Kami memohon maaf kepada peminat kami kerana tidak dapat bermain perlawanan di tempat sendiri di Palestin dan kami tidak sabar untuk mencari formula terbaik untuk membolehkan rakyat kami menyokong pasukan kebangsaan kami.

“Kami komited untuk terus memperjuangkan hak kami untuk bermain di Baitulmaqdis. Kami percaya ini adalah hak kami dan hak peminat kami untuk bersorak untuk pasukan mereka dan mencipta sejarah bersama,”’dipetik dari kenyataan PFA.