Keberadaan tiga ekor gajah kebanggaan Malaysia yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun kembali meraih tumpuan ramai.
Gajah-gajah yang diberi nama Dara, Amoi, dan Kelat itu bukan sahaja meruntun jiwa pencinta haiwan, malah mencetuskan gelombang desakan daripada rakyat Malaysia yang mahu mereka dibawa pulang ke tanah air.
Isu ini bukanlah perkara baharu. Usaha untuk membawa pulang ketiga-tiga mamalia gergasi ini telah lama digerakkan oleh pelbagai pihak. Malah, sebuah kempen petisyen yang dilancarkan menerusi laman web Care2 telah berjaya mengumpul ratusan ribu sokongan daripada orang awam yang bersimpati dengan nasib mereka.
Di sebalik kempen yang sedang berjalan, kerinduan rakyat Malaysia terhadap Amoi, Dara, dan Kelat sedikit terubat baru-baru ini menerusi sebuah perkongsian tular di media sosial.
Seorang pelancong dari Malaysia yang sedang bercuti di Jepun telah mengambil kesempatan untuk melawat gajah-gajah tersebut di Zoo Tennoji. Menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun TikTok @qasehdeeyana2, detik pertemuan itu ternyata mengundang pelbagai reaksi emosi.
Dalam rakaman tersebut, Qaseh yang berdiri di kawasan pemerhatian pelawat cuba berinteraksi dengan haiwan berkenaan.
“Amoi… Dara… Kelat…” panggil Qaseh dari kejauhan.
Apa yang mengejutkan dan menyentuh hati adalah reaksi balas yang ditunjukkan oleh haiwan tersebut. Sebaik sahaja nama mereka diseru dengan lenggok bahasa yang cukup sinonim dengan tanah asalnya, gajah-gajah itu dilihat memberikan respons fizikal.
Menerusi beberapa siri video lain yang dikongsi oleh Qaseh, Amoi dan Dara dilihat seakan-akan faham dan teruja apabila nama mereka diulang sebut. Interaksi singkat tetapi penuh bermakna itu turut disaksikan oleh beberapa pengunjung zoo yang lain di sekeliling kawasan pameran tersebut.
@qasehdeeyana2 Replying to @jannazainal87
♬ original sound – Deeyana | AINAA Beauty – Deeyana | AINAA Beauty
@irmaputricupcake Dari JB kami datang ke Osaka Jepun utk jumpa #DAK Part 2 #DAK 📍Tenojji Zoo di Osaka, Trip UEP hari ke sini.. point utama nak melawat 3 ekor gajah (Dara, Amoi & Kelat) yang baru dipindahkan dr Gajah Dr Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah ke Zoo Tenoji (11 Mac 2026) Dari Tsutenkaku Tower, Osaka di Sinsekai senang je berjalan ke sini.. kalau yg datang Osaka datang la tengok.. Jangan lupa panggil nama DAK.. nanti nampak 🐘bg reaction.. xnak cakap banyak kat sana mmg berjurai air mata😭 Lagi bila Cik Dee panggil2 tu.. kita dh sedu sedan tahan perasan, tempat tu kering kontang kena ada hut teduh, ada pokok & rumput & plg penting kena ada makanan.. berbeza sangat dgn habitat DAK di kawasan tropika.. kehidupan berkawan2.. kita doa yang baik2.. kena hantar Mahut Malaysia bantu di sana 🆘🐘🇲🇾 #DaraAmoiKelat #TenojjiZoo #KualaGandah PerundingUEPTrip2026✨@Deeyana | AINAA Beauty @fezzakmal9091 @🦋
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya tidak dapat menyembunyikan rasa sebak dan hiba. Ramai yang meluahkan rasa sedih melihat keadaan gajah-gajah tersebut yang terpaksa hidup jauh dari habitat asal mereka di kawasan tropika.
“Mesti dia rindu panggilan nama dia,ya Allah sedihnya.”
“Comel.. Happynye DAK bila dgr suara org malaysia.. Panggil dorg… Dye sahut org pgil nama dye…mesti rindu sgt2 kt Penjaga dia.”
“Auto buat aku nangeh wei bila dengar hampa panggil depa.”
Video tular ini secara tidak langsung kembali menghidupkan perbualan tentang nasib haiwan liar yang ditempatkan di luar negara dan membuktikan bahawa ikatan emosi antara haiwan dan persekitaran asalnya tidak mudah terpadam oleh jarak dan masa.
Selagi usaha membawa pulang belum membuahkan hasil, doa dan harapan rakyat Malaysia sentiasa mengiringi Amoi, Dara, dan Kelat di negara matahari terbit itu.