Bekas ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo kemungkinan akan kembali semula mewarnai saingan bola sepak Asia Tenggara apabila Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Dalam satu temubual bersama stesen televisyen di Korea Selatan iaitu KBS, Park Hang Seo menegaskan beliau masih berminat untuk melatih negara lain dan mengesahkan ada tawaran daripada beberapa pasukan termasuk Singapura.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pengendali berusia 64 tahun itu akan memutuskan hala tuju beliau setelah melakukan perbincangan bersama keluarganya.

“Ejen saya sudah mendapat beberapa tawaran dan saya sedang memikirkannya. Saya harus berbincang dengan keluarga terlebih dahulu untuk menentukan apa yang saya akan lakukan dan kemana destinasi saya,” katanya.

Selain Singapura, Thailand turut dilaporkan buru khidmat Park Hang Seo namun mereka telah pun mengumumkan ketua jurulatih baharu dari Jepun iaitu Masatada Ishii bagi menggantikan tempat Mano Polking.

Perkembangan itu turut disahkan oleh seorang wartawan sukan Korea Selatan, Steve Han menerusi satu ciapan di laman X.

Bagaimanapun, Park Hang Seo menolak tawaran dari Korea Selatan ataupun Vietnam kerana sudah pernah menjadi jurulatih di dua negara tersebut.

Tahun lepas, Park Hang Seo memilih untuk berpisah dengan Vietnam setelah lima tahun mengendalikan skuad senior dan juga B-23 Tahun serta meraih beberapa kejuaraan di peringkat antarabangsa.

Singapura amat memerlukan khidmat jurulatih itu selepas menampilkan prestasi hambar dalam perlawanan antarabangsa termasuk saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 baru- baru ini.

Para peminat bola sepak di negara itu tidak begitu gembira dengan corak permainan pasukan Singapura sejak dibawah kendalian jurulatih Jepun, Takayuki Nishigaya.

Kekalahan 1-3 kepada Thailand di halaman sendiri pada 21 November lepas telah mengundang pelbagai kritikan sehingga terdapat desakan agar Nishigaya letak jawatan dengan segera.