Dua bekas pengendali yang pernah berbakti di Asia Tenggara, Park Hang-seo dan Shin Tae-yong kini memegang tugasan penting di negara kelahiran mereka iaitu Korea Selatan.

Hal ini kerana dua jurulatih itu kini telah dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) bagi penggal 2025–2028.

Baca Juga:

Dalam pengumuman dibuat KFA seperti dilaporkan sumber VN Express International, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam dan Indonesia itu adalah antara 27 ahli yang dipilih untuk menyertai Jawatankuasa Eksekutif ke-55 KFA yang dipimpin oleh Presiden, Chung Mong-gyu.

Difahamkan, jawatan naib presiden terdiri daripada lima posisi dimana Park Hang-seo akan bertugas sebagai naib presiden yang bertanggungjawab untuk menyokong pasukan kebangsaan manakala Shin Tae-yong pula akan mengawasi kerjasama luar negara.

Tampuk pemerintahan KFA kali ini mengadunkan pemimpin, tenaga pakar dan jurulatih dari pelbagai bidang untuk memastikan kepelbagaian perspektif dalam membina dasar-dasar badan induk tersebut.

Dua Kebanggaan Bola Sepak Korea Selatan

Berusia 67 tahun, Hang-seo adalah pembantu jurulatih bagi pasukan kebangsaan Korea Selatan di bawah Guus Hiddink semasa Piala Dunia 2002 yang menyaksikan Taeguk Warrior melakar pencapaian sejarah dengan menduduki tempat keempat.

Beliau kemudian memimpin pasukan B23 pada Sukan Asia 2002, namun kekalahan di separuh akhir menyebabkan pemecatannya.

Antara 2005 dan 2017, beliau melatih empat kelab di Korea Selatan iaitu Gyeongnam FC, Jeonnam Dragons, Sangju Sangmu dan Changwon City.

Pada penghujung 2017, beliau mengambil alih tugasan selaku pasukan kebangsaan Vietnam dan kekal sehingga Januari 2023.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau mencapai kejayaan yang tidak pernah dicapai sebelumnya iaitu muncul naib juara Kejuaraan AFC B23 2018, menjuarai Piala AFF 2018 (sekarang dikenali sebagai Piala ASEAN Mitsubishi Electric), mara ke suku akhir Piala Asia 2019, dua pingat emas Sukan SEA (2019 dan 2021) serta lolos kepusingan kelayakan akhir Piala Dunia 2022 buat kali pertama dalam sejarah.

Di bawah kendalian Park, Vietnam secara konsisten mendominasi Asia Tenggara dan mengekalkan kedudukan mereka dalam ranking FIFA ‘Top 100’ untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah rantau ini.

Kejohanan terakhir beliau bersama Vietnam adalah Piala AFF 2022, di mana Vietnam tewan ditangan Thailand.

Pada masa ini, Park mengendalikan pusat bola sepak remaja di Vietnam dan bertugas sebagai penasihat untuk Bac Ninh FC di liga divisyen kedua.

Korea Selatan
Kredit Foto: REUTERS/Thaier Al-Sudani/File Photo

Manakala, Shin Tae-yong yang kini berusia 54 tahun mula dikenali apabila membimbing Seongnam FC untuk memenangi gelaran AFC Champions League 2010 dan Piala FA Korea 2011.

Beliau kemudiannya memegang beberapa peranan dengan pasukan kebangsaan Korea Selatan, termasuk membawa mereka ke suku akhir di Sukan Olimpik Rio 2016 dan membantu pasukan B20 mara ke peringkat kalah mati di Piala Dunia B20 2017.

Shin Tae-yong juga mengendalikan pasukan kebangsaan Korea Selatan di Piala Dunia 2018, di mana mereka mencipta kejayaan hebat dengan mengalahkan juara bertahan, Jerman 2-0.

Pada penghujung 2019, Shin mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih Indonesia. Beliau berjaya membawa Indonesia mencapai beberapa pencapaian penting.

Antaranya mara ke peringkat kumpulan di Piala Asia 2023, mencapai separuh akhir Piala Asia B23 2024 dan mencatat sejarah dengan membawa Indonesia ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Namun, Shin telah dipecat Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) selepas pasukan tersebut tersingkir awal daripada Piala ASEAN 2024 walaupun menurunkan skuad B20.

Sebelum itu, beliau telah berjaya membawa Indonesia mencatat kemenangan bersejarah ke atas Arab Saudi dalam pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026, dengan kemenangan 2-0 pada November 2024.

Dalam satu kenyataan kepada media Korea Selatan pada 7 April, Shin Tae-yong berkongsi bahawa beliau merancang untuk mengambil cuti selama setahun daripada tugas kejurulatihan bagi memperluaskan pengetahuan bola sepaknya sebelum kembali ke bidang kejurulatihan.