Belum reda lagi isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Selangor, kini timbul pula satu lagi dakwaan kes sama melibatkan sebuah jenama kasut tempatan.

Menerusi satu video yang dimuat naik pengguna Facebook menerusi akaun Mohd Haridz, dia mengakui terkejut selepas mendapati tapak kasut milik isterinya yang dibeli pada Sabtu lalu didakwa mempunyai kalimah ALLAH.

Baca Juga:

Difahamkan, kasut berharga RM100 itu dibeli di rangkaian butik jenama berkenaan yang terletak di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, Pahang.

“Saya (ingin) berkongsi dengan kalian, berita yang membuatkan kita marah. Pada 30 Mac lalu, saya membeli-belah dengan isteri sempena raya.

“Saya masuk kedai (jenama) V****, isteri saya berminat dengan satu kasut. Lepas beli, saya terus letak dalam bilik, tak buka-buka.

“Hari ini saya tergerak hati nak tengok, tapi bila saya semak, V**** keluarkan kasut kalimah ALLAH. Nampak tak betapa kurang ajarnya mereka

“Pada mata aku memang jelas sangat kalimah ALLAH itu. Kenapa? Benda ini sudah jadi satu trend atau bagaimana ya?” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Individu tersebut turut mempersoalkan motif pengeluaran rekaan kasut yang seolah-olah tidak menghormati agama Islam.

Dalam pada itu katanya, setelah disemak di media sosial, pasangan suami isteri tersebut turut mendapati terdapat pengguna lain yang turut mengadu tentang kasut jenama yang sama yang dipercayai tertera kalimah Allah pada tapaknya.

“Esok saya nak pergi semula kedai tersebut dan tanya mereka.

“Saya jadi marah sebab ini kalimah ALLAH kot, letak di tapak kaki (pula).

“Kalian yang nak beli kasut di butik jenama ini, lebih baik semak dahulu dan pastikan tiada logo ini,” ujarnya.

Hantara pasangan ini telah meraih perhatian ramai dan rata-ratanya mahu mendengar penjelasan daripada wakil jenama tersebut berkenaan isu yang diutarakan.