Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang tular berhubung kes seleweng derma menjadi bualan hangat dalam kalangan warga maya di media sosial hari ini.

Menurut laporan media tempatan, pasangan itu direman selama empat hari di Mahkamah Majistret hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan, bermula 2022 lalu.

Baca Juga:

Turut direman, dua lagi lelaki iaitu pengarah dan pemegang saham terbesar platform kutipan derma berkait kes yang sama.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah terhadap pasangan yang mencipta kontroversi berhubung masalah rumah tangga itu, selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki berusia 30 tahun dan isterinya yang berusia 26 tahun dilihat memakai baju lokap berwarna oren dalam keadaan bergari dan sempat melemparkan senyuman kepada pengamal media ketika dibawa ke mahkamah pagi tadi.

Peguam yang mewakili pasangan tersebut, Abd Rahim Ali berkata, pihak SPRM membuat permohonan reman selama tujuh hari namun mahkamah membenarkan perintah tahanan sehingga Ahad.

Menurutnya, siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, iaitu membabitkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Beliau berkata, seksyen itu menyentuh kes bagi mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutu, melakukan suatu kesalahan.

“Dua anak guam saya ditahan bukan membabitkan penyelewengan kutipan bantuan, sebaliknya kes salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 (1) akta itu.

“Jadi, kami membuat bantahan, sebab tak kena dengan seksyen yang dimohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam,” katanya.