Pasangan pempengaruh dan usahawan dibawa ke mahkamah dengan tangan mereka bergari memakai baju lokap SPRM.
Mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan tahanan reman.
Permohonan tahanan reman itu adalah untuk siasatan ke atas dakwaan salah laku penyelewengan dana kutipan derma awam.
Mereka baru-baru ini berdepan dengan kritikan daripada netizen berikutan ada pihak viralkan pendedahan bahawa mereka berdua telah menyeleweng dana hasil kutipan derma yang mencecah jutaan ringgit – yang didakwa tidak disalurkan dengan betul.
Mereka dikatakan tidak transparen dalam pengurusan dana tersebut termasuk mengambil wang komisyen 20% daripada kutipan tersebut.
Pempengaruh lelaki sebelum ini sudah tampil membuat penafian di akaun media sosial miliknya. Namun penjelasannya masih tidak boleh diterima oleh ramai pihak.
Pasangan suami isteri itu diwakili oleh peguam Abd Rahim Ali yang menegaskan bahawa anak guamannya tidak bersalah dalam pertuduhan ke atas mereka, serta tidak sesekali pernah menjalankan sebarang kegiatan yang menyalahi undang undang negara.
Seterusnya Abd Rahim turut menyatakan kesenangan dan kemewahan anak guamannya adalah hasil titik peluh mereka sendiri dalam berniaga. Jadi mereka berhak untuk menikmati hasil tersebut.
Abd Rahim Ali menambah: “Anak guam kami juga seperti yang anda semua sedia maklum, telah menjalankan pelbagai perniagaan yang menjana keuntungan.
“Oleh itu, mereka juga berhak menikmati hasil keuntungan perniagaan untuk tujuan peribadi.”
Peguam tersebut juga menyangkal anak guamannya mengambil 20% daripada kutipan derma yang dibuat menerusi platform JomDonate.
Skim tersebut baru sahaja diperkenalkan pada 2022, dan pasangan itu sudah lama berhenti menggunakan platform tersebut. Jadi semua testimoni yang menggunakan gambar pasangan suami isteri itu dianggap menyalahi undang undang kerana tanpa persetujuan mereka.
Selain itu, Abd Ali juga mengesahkan bahawa kutipan derma untuk madrasah sudah pun diserahkan kepada pihak terlibat dan sudah tamat pada 14 Jun lalu.
Sementara itu, ketika menuju ke kamar mahkamah, pempengaruh lelaki sempat memberitahu wartawan agar semua pihak mendoakan yang baik baik untuk dia dan isterinya – menurut mStar.