Pasport Malaysia sentiasa berada di kedudukan yang tinggi dalam ranking pasport global, yang mengukur kebebasan perjalanan tanpa visa atau dengan visa semasa ketibaan ke pelbagai negara.
Sehinggakan ada rakyat negara jiran timbul rasa jeles dengan kehebatan pasport negara Malaysia dan menjadi perbincangan hangat di media sosial.
Seorang pengguna Facebook bernama Backpaeger แบกเป้เกอร์ berkongsi satu hantaran yang berkisarkan tentang kekuatan pasport Malaysia yang boleh menggunakan laluan pantas untuk proses pemeriksaan keselamatan dan imigresen di negara yang dikunjunginya.
“Kawan-kawan, tahukah anda bahawa Pasport Malaysia merupakan antara yang paling berkuasa di dunia? Ia membolehkan pemegangnya melancong ke lebih 180 negara tanpa perlu memohon visa!
“Ranking pasport boleh berubah setiap tahun, tetapi Pasport Malaysia secara konsisten berada di kedudukan tinggi, dengan laporan terkini meletakkannya di tangga ke-12 paling berpengaruh di dunia.
“Berbeza pula dengan negara jiran kita, Thailand. Setakat data terkini 2025, pemegang pasport Thailand hanya boleh melancong ke sekitar 40 negara tanpa visa,” kongsinya.

Sementara itu dia turut berkongsi gambar yang memperlihatkan sesiapa yang memiliki pasport Malaysia boleh menggunakan laluan pantas di Rome, yang mana dirinya melihat ia sebagai keistimewaan kerana mendapat penghormatan di peringkat antara bangsa.

Di dalam ruangan komentar, lelaki ini meluahkan dirinya sebagai negara jiran merasa tersangat cemburu melihat warganegara Malaysia boleh menikmati perjalanan ke majoriti negara di peringkat global dengan mudah.
Tidak sekadar itu, ruangan komentar turut dihujani sejumlah komentar dari netizen negara jiran itu yang juga merasakan perkara yang sama dalam hal ini.
“Secara peribadi, saya memang jeles kalau ada pasport Malaysia! Boleh masuk macam-macam negara tanpa visa. Kadang-kadang, malas betul nak mohon visa, rasa sayang pula duit yuran visa tu. Ada masanya, untuk melancong, duit yuran visa saja dah habis beribu-ribu,” komen seorang netizen dari Thailand sendiri.
“Saya mengaku, saya memang sangat ‘cemburu’ (atau iri hati) melihat kemudahan tu. Dari lubuk hati seorang yang berurusan menggunakan pasport Thailand untuk bekerja di pelbagai negara di Asia, Eropah, Timur Tengah, dan Afrika… Memohon visa ni memang sangat memenatkan. Dalam tempoh 10 tahun lepas saja, saya dah mohon visa Schengen sampai 7 kali!,” kata seorang wanita Thailand.
Ramai juga yang membidas lelaki itu kerana seperti merendahkan negara sendiri dan tidak mempunyai semangat patriotik kerana memuji negara yang lain.
Di samping itu, ada juga yang melihat ini sebagai satu benchmark yang sepatutnya dicontohi oleh pemerintah Thailand dalam menjadikan rakyatnya boleh menikmati pasport yang kuat seperti di sini.
“Saya kena akui, Malaysia memang mentadbir negara dengan sangat baik. Jauh berbeza betul dengan keadaan di negara kami,” kata seorang netizen lagi.
Dalam pada itu, sebahagian netizen percaya rakyatnya tidak mampu mendapatkan keistimewaan pasport sedemikian dek kerana disebabkan segelintir individu yang pergi bekerja secara haram di sejumlah negara dan akhirnya memberikan reputasi buruk di persada antarabangsa.