Pasport Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa apabila berjaya menduduki tangga ke-2 dunia dalam senarai The Passport Index Global Ranking 2026.
Pencapaian membanggakan ini menunjukkan peningkatan satu anak tangga berbanding kedudukan ke-3 yang dicatatkan pada tahun 2025, petik hantaran Facebook Jabatan Imigresen Malaysia.
Berdasarkan penarafan rasmi tersebut, pemegang Pasport Malaysia kini menikmati kemudahan akses ke 175 destinasi di seluruh dunia. Jumlah ini merangkumi 129 destinasi bebas visa serta 46 destinasi yang menawarkan kemudahan visa semasa ketibaan (visa-on-arrival).
Sementara itu, hanya 23 destinasi sahaja yang masih memerlukan pemegang pasport negara memohon visa terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan.
Pencapaian terkini ini mencerminkan kekuatan diplomasi, kredibiliti, serta penerimaan tinggi terhadap Pasport Malaysia di peringkat global, sekali gus memudahkan urusan pergerakan rakyat Malaysia bagi tujuan perniagaan, pelancongan, dan pendidikan di luar negara.