Serba daif dan dilayan bagaikan anak tiri. Itu perumpamaan yang wajar diberikan untuk pasukan bola sepak sukma Kelantan dimana mereka datang ke temasya Sukma 2024 di Sarawak dengan serba kekurangan.

Memetik dari laporan yang disiarkan oleh Harian Metro, pasukan dari Pantai Timur itu berada dalam keadaan sukar kerana tiada bantuan secara moral dari pihak berwajib dan mereka kelihatan seperti sebuah pasukan ‘terabai’.

Baca Juga:

“Kita tidak dapat apa pun sebab Majlis Sukan Negeri (MSN Kelantan) letak kita dalam kategori C. Itu yang amat menyayat hati. Elaun pun tidak diberikan oleh mereka. Sampai pakaian kontijen pun tidak disediakan, tidak diberi. Macam, memang macam anak tirilah,” kata ketua jurulatih pasukan iaitu Ariff Hashim.

“Pemain pun sangat berdisiplin dan ikut apa diaturkan. Selain taktikal, saya serapkan kekuatan mental, psikologi dan saya bagitahu bahawa setiap orang perlu ada jiwa untuk menang.

“Disiplin sangat penting kerana bagus macam mana pun kalau pemain tak disiplin, ia tak ke mana. Jadi betulkan ‘mindset’, karaktor, sikap dan Alhamdulillah pemain boleh ikut semua itu,” tambahnya.

Meskipun serba kekurangan, tetapi Kelantan berjaya menampilkan prestasi cemerlang dimana mereka membenam cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir sekaligus mara ke peringkat separuh akhir.

Selain Kelantan, tiga lagi pasukan berjaya mara ke separuh akhir iaitu Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Melaka.

Terengganu yang juga juara bertahan menewaskan Selangor 3-1 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Padang Mesra Majlis Daerah Dalat Mukah (MDDM) di Mukah pada 19 Ogos lalu.

Wilayah Persekutuan meneruskan perjalanan untuk merangkul ibu emas dalam acara bola sepak selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0 dalam aksi suku akhir di Stadium Mukah.

Dalam satu lagi perlawanan menyaksikan Melaka membenam Perak dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Padang Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM).