Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh tiga pemain yang membuat penampilan pertama bersama pasukan negara dalam aksi persahabatan menentang Laos baru-baru ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Port Authority of Thailand (PAT), Marti memberikan peluang kepada Zhafri Yahya, Fergus Tierney dan Fazrul Amir untuk membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan.

Baca Juga:

Zhafri beraksi dalam kesebelasan utama bersama Paulo Josue dan Nooa Laine di bahagian tengah. Manakala Tierney dan Fazrul pula masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.

Pau Marti
Sumber Gambar: FAM

Bekas pembantu kepada Kim Pan-gon itu berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh ketiga-tiga pemain dalam aksi yang mana Malaysia muncul sebagai pemenangan dengan keputusan 3-1.

“Saya gembira untuk pemain-pemain yang merekodkan (penampilan) perlawanan pertama malam ini. Pada akhirnya, mereka di sini kerana mereka perlu bermain. Saya rasa kasihan kepada pemain lain yang tidak mendapat minit permainan,” kata Pau Marti.

Perlawanan yang berlangsung tanpa kehadiran penyokong itu menyaksikan pemain terpaksa bermula dengan aksi di atas permukaan padang becak ekoran hujan lebat di sebelah petang.

Harith Haiqal Adam Afkar membuka tirai jaringan dimana beliau menanduk masuk bola bagi memberikan kelebihan awal buat Malaysia.

Kem Malaysia tersentak pada minit ke-34 selepas kesilapan Matthew Davies yang gagal membaca keadaan bola dengan baik sekali gus membolehkan Kydavone Souvanny menolak masuk bola untuk kembali mengikat kedudukan.

Kemasukan Stuart Wilkin dan Sergio Aguero pada babak kedua nyata meningkatkan kemampuan skuad negara dalam usaha untuk memburu jaringan.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-64 apabila Wilkins dikasari dalam kawasan penalti oleh Sengdaovy Hanthavong dan beliau sendiri mengambil sepakan itu untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Memasuki minit ke-83, giliran Aguero pula meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau menyempurnakan sepakan penalti ketika beliau dikasari pemain gantian, Phoulaung Vinnavong.

Kemenangan penting dilakarkan itu mampu meningkatkan moral pemain skuad negara menjelang aksi persahabatan kedua bertemu India di Hyderabad pada 18 November nanti.