Pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya selepas melihat Malaysia hanya mampu seri 2-2 pada pertemuan sulung Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 berdepan Kemboja, malam tadi.
Selepas membuka tirai jaringan menerusi tandukan Stuart Wilkin pada separuh masa pertama, skuad negara tersentak di babak kedua berikutan jaringan Abdel Kader Coulibaly dan Sa Ty.
Baca Juga:
- Piala ASEAN 2024: Malaysia Sekadar Seri Bertemu Kemboja
- Piala AFF Tugasan Terakhir Pau Marti
- Pau Marti Gembira Dengan ‘Debut’ Tiga Pemain
Namun, Fergus Tierney yang masuk sebagai pemain gantian menyelamatkan maruah Malaysia daripada mengalami kekalahan pada perlawanan di Stadium Olimpik Phnom Penh itu.
Sehubungan dengan itu, Pau Marti jelas kecewa terutamanya melihat gawang skuad negara dibolosi sebanyak dua kali dan gagal untuk mencipta kemenangan.
“Secara keseluruhan, ia agak seimbang. Saya berpuas hati dengan komitmen pemain tetapi kecewa selepas kami dibolosi dua gol menerusi situasi ‘set pieces’.”
“Sejujurnya saya menjangkakan perlawanan yang tegang memandangkan kami beraksi di hadapan penyokong tuan rumah dengan stadium penuh.”
“Namun, mereka (merujuk kepad Kemboja) berjaya mengawal keadaan dan menjaringkan gol.”
“Sasaran kami adalah untu memenangi setiap perlawanan, tetapi menang di tempat lawan bukan sesuatu yang mudah.”
“Kemboja tampil dengan permainan yang tersusun, pantas dan berkualiti,” ujar Pau Marti menurut sumber laporan Bernama.
Pau Marti Vicente dan anak-anak buahnya akan kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk pertemuan kedua menentang Timor-Leste pada aksi kedua, Rabu nanti.