Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente menegaskan beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh pemain sedia ada selepas Malaysia memenangi kejohanan Pestabola Merdeka 2024.
Harimau Malaya berjaya menewaskan Lebanon dengan keputusan 1-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sekaligus memenangi kejohanan itu untuk kali ke-13.
Baca Juga:
- Datuk Ong Kim Swee Bengang Padang SNBJ Punca Pemain Sabah Cedera
- ‘Sportmanship Kelaut’ – Peminat Kurang Senang Dengan Tindakan Akhyar Rashid
- ‘Pengadil Beri Hadiah Kepada Malaysia’ – Pemain Lebanon
Kejayaan itu menjadi yang pertama bagi Marti dan beliau menegaskan mahu memberikan fokus kepada pemain sedia ada dan enggan untuk memberikan komen mengenai pemain warisan.
“Saya rasa sekarang ini kami mempunyai ramai pemain. Panggilan kali ini sukar untuk kami kerana semua pemain menampilkan prestasi yang baik bersama kelab masing-masing. Jadi kami perlu membuat pilihan yang cermat.
“Saya gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh pemain sedia ada dan sekiranya ada pemain lain yang dibawa masuk, maka mereka perlu berjuang untuk mendapatkan tempat dalam pasukan,” kata Pau Marti dipetik dari laporan Bernama.
Beberapa nama pemain warisan dilaporkan bakal memperkuatkan skuad kebangsaan bermula dengan Mats Deijl dan diikuti dengan pemain seperti Joshua Brownhill yang merupakan ketua pasukan Burnley dan Iggy Houben.
Laman pencari bakat, frfuturetalents mendedahkan telah menerima email rasmi daripada Josh Brownhill yang mengakui memiliki darah keturunan Malaysia daripada neneknya.
“Saya boleh mengesahkan bahawa saya mempunyai keturunan Malaysia melalui nenek saya, ia merupakan sesuatu yang amat saya banggakan.
“Walaupun saya memberi fokus kepada kerjaya kelab saya sehingga sekarang, mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang saya sedia untuk mempertimbangkan.
“Saya menghargai minat dan sokongan daripada komuniti bola sepak Malaysia, saya pasti akan pertimbangkan dengan teliti sebarang peluang di masa depan,” jelasnya kepada Frfuturetalents.