Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menyatakan pihak Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan penambahbaikan menyeluruh terhadap Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar yang dikeluarkan pada tahun 2020.

Ini kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai sebarang peruntukan kuasa bagi mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kereta buruk terbiar di kawasan strata persendirian, petik Harian Metro.

Kekangan itu disebabkan kawasan kediaman berstrata yang telah menubuhkan  Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) adalah tertakluk sepenuhnya di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) serta Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengurusan dan Penyelenggaraan) 2015.

Jadi, pihak berkenaan mempunyai kuasa penuh dan tanggungjawab undang-undang untuk mengurus, mengawal selia dan mentadbir segala perkara yang berlaku dalam kawasan hak milik bersama, termasuk isu kereta terbiar di kawasan parkir dan laluan bersama.

Menurut beliau, penambahbaikan itu merangkumi  penggunaan Seksyen 65 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sebagai instrumen tambahan bagi membolehkan pelupusan kereta dilakukan tanpa melalui proses mahkamah yang panjang.

Kemudian, cadangan pindaan kepada peruntukan tertentu dalam Akta 333 bagi memperluaskan kuasa pelaksanaan kepada semua kategori PBT serta memperjelas skop kawasan yang boleh dikuatkuasakan.

Seterusnya, pewujudan mekanisme pelupusan kenderaan secara sukarela melalui Sistem e-Dereg yang dibangunkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai alternatif pantas dan mesra pengguna untuk pemilik kenderaan melupuskan kenderaan usang mereka,

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai langkah kerajaan menggubal undang-undang kecil atau peraturan bagi membolehkan PBT mengambil tindakan terhadap kenderaan terbiar dan sering menimbulkan masalah di kawasan kediaman berstrata.

Sumber