Anak syarikat PROTON, PRO-NET, hari ini menyerahkan tiga buah kenderaan elektrik model Proton e.MAS kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyokong penilaian kebolehgunaan serta kesesuaian kenderaan elektrik dalam pelbagai keperluan logistik dan operasi pasukan itu.
Majlis penyerahan yang berlangsung di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman itu menyaksikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid bin Musa menyerahkan kenderaan berkenaan kepada Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, CP Datuk Redzuan bin Abd Hamid.
Nilai Keupayaan Operasi Kenderaan Elektrik
Tiga model yang diserahkan merangkumi Proton e.MAS 5 Premium, Proton e.MAS 7 Premium dan Proton e.MAS 7 PHEV Premium Plus.
Memetik kenyataan rasmi, inisiatif ini membolehkan PDRM menilai prestasi pelbagai konfigurasi kenderaan elektrik dalam situasi sebenar, merangkumi aspek pemanduan, pratikaliti serta keperluan pengecasan. Bagi menyokong penilaian ini, syarikat Gentari turut menyediakan perkhidmatan pengecasan percuma sepanjang tempoh ujian.
Dato’ Ir. Abdul Rashid bin Musa berkata, penilaian bersama PDRM ini merupakan peluang terbaik untuk menguji keupayaan Proton e.MAS di luar persekitaran pandu uji biasa.
“Peralihan kepada kenderaan elektrik bagi armada berskala besar bukan sekadar melibatkan kenderaan, malah merangkumi pemahaman terhadap penggunaan harian, prestasi dan keperluan pengecasan. PRO-NET komited untuk menyokong rakan kerjasama kerajaan dalam menjayakan transisi ke arah ekosistem mobiliti yang lebih mampan,” ujar beliau.
Sokong Keperluan Armada Masa Depan
Dapatan daripada penilaian ini akan membantu PDRM memahami sejauh mana teknologi kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dapat memenuhi keperluan tugas harian pasukan, termasuk rondaan pencegahan jenayah pada masa hadapan.
Langkah ini sejajar dengan peningkatan minat dalam kalangan kementerian dan agensi kerajaan untuk meneroka penggunaan kenderaan elektrik. Sehingga 31 Ogos 2026, jenama Proton e.MAS mencatatkan pendaftaran melebihi 6,000 unit di seluruh negara.
Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara PRO-NET dan PDRM, malah memberi wawasan berharga dalam memenuhi keperluan pengguna armada institusi sekali gus memacu ekosistem mobiliti elektrik di Malaysia.