Dunia teknologi Malaysia dikejutkan lagi dengan berita yang bukan calang-calang. Kalau dulu kita sering mendengar kisah hartanah fizikal dijual pada harga jutaan ringgit, kali ini hartanah digital pula mencuri tumpuan.
Individu yang dikenali sebagai Arsyan Ismail, seorang usahawan teknologi tempatan, dilaporkan telah menjual nama domain AI.com pada harga yang cukup luar biasa iaitu $70 juta (sekitar RM276,254,867.70 juta)!
Bukan Nama Asing Dalam Dunia ‘Rare’

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan gajet tegar di Malaysia, nama Arsyan Ismail mungkin tidak asing lagi.
Memetik laporan Amanz, beliau sebelum ini pernah viral kerana menjadi individu pertama di Malaysia yang membeli laptop Acer Predator 21X yang bernilai RM39,999. Jelas sekali, beliau mempunyai mata yang tajam dalam menilai aset-aset unik dan bernilai tinggi.
Kenapa AI.com Berharga Sangat Mahal?
Dalam dunia internet, nama domain dengan dua huruf adalah ’emas digital’. Namanya ringkas, mudah diingat, dan sangat eksklusif.
Apatah lagi dengan ledakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sekarang, memiliki domain AI.com ibarat memiliki alamat paling strategik di pusat bandar dunia.
Pecah rekod dunia

Pengasas laman dagangan mata wang kripto, Crypto.com, telah membeli domain AI.com pada harga $70 juta, iaitu harga tertinggi yang pernah didedahkan bagi penjualan nama domain.
Sejumlah sebanyak $70 juta tersebut telah dibayar sepenuhnya dalam bentuk mata wang kripto kepada individu Malaysia itu, menurut kenyataan Fischer iaitu broker domain kepada FT, yang turut menyifatkan transaksi tersebut sebagai jualan terbesar seumpamanya yang pernah didedahkan.
Dengan pemilikan ini, ia bertujuan untuk melancarkan entiti baharu dalam perlumbaan kecerdasan buatan (AI).
Kris Marszalek, pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Crypto.com, merancang untuk memperkenalkan AI.com melalui iklan Super Bowl pada hujung minggu ini.
Laman web tersebut bakal menawarkan perkhidmatan “ejen AI” peribadi yang boleh digunakan oleh pengguna untuk menghantar mesej, mengendalikan aplikasi, serta berdagang saham.
Sebab pemilikan domain berharga itu
Marszalek menyatakan bahawa terdapat “sebab perniagaan yang kukuh” di sebalik pembayaran harga yang begitu tinggi untuk AI.com.
“Kami mempunyai keinginan yang besar untuk memiliki titik sentuh (touchpoint) ini, jika tidak, jenama anda hanya akan menjadi komoditi biasa,” katanya.
“Saya berpendapat ia sesuatu yang sangat menarik apabila seorang individu boleh memiliki dua domain yang mewakili kategori yang sebegitu penting,” tambah beliau lagi.