Seorang pegawai kanan kepada Presiden Donald Trump, telah meminta FIFA untuk menggantikan Iran dengan Itali dalam Piala Dunia akan datang, menurut laporan Financial Times pada hari Rabu.

Tindakan itu juga dianggap salah satu usaha untuk memperbaiki hubungan antara Trump dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni selepas kedua-duanya berselisih susulan serangan Trump terhadap Pope Leo XIV berkaitan perang Iran.

Paulo Zampolli yang merupakan pegawai kanan khas Trump berkata: “Saya mengesahkan bahawa saya telah mencadangkan kepada Trump dan (Presiden FIFA Gianni) Infantino supaya Itai menggantikan Iran di Piala Dunia.

“Saya berasal dari Itali dan menjadi impian untuk melihat Azzurri beraksi dalam kejohanan yang dianjurkan di AS. Dengan empat gelaran, mereka mempunyai reputasi yang cukup untuk membenarkan penyertaan.”

Itali sebelum ini dikejutkan oleh Bosnia pada aksi final play off Piala Dunia 2026, yang membuatkan mereka terlepas 3 edisi Piala Dunia berturut turut, dan kesemuanya kerana kandas di play off.

Iran pula layak ke Piala Dunia untuk kali keempat berturut-turut tahun lalu – menjadi antara pasukan terawal mengesahkan kemaraan – namun selepas tercetusnya perang, mereka meminta FIFA memindahkan tiga perlawanan peringkat kumpulan mereka dari Amerika Syarikat ke Mexico.

Namun buat masa ini FIFA berkeras tidak mahu menuruti permintaan Iran.

Iran juga mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Piala Dunia 2026, namun FIFA melarang mereka berbuat demikian. Dan FIFA sedia melakukan play off antara benua jika Iran menarik diri. Play off itu melibatkan 2 pasukan Asia dan 2 pasukan Eropah.

AFC dijangka akan cuba memastikaan pengganti Iran itu datang dari Asia, dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang tewas dalam playoff kelayakan kepada Iraq November lalu, dilihat sebagai pilihan paling munasabah.

Namun, UAE tidak mempunyai rekod bola sepak sehebat Itali, hanya pernah beraksi sekali di Piala Dunia iaitu pada tahun 1990, di mana mereka tewas dalam semua tiga perlawanan.