Seorang pejalan kaki warganegara asing yang merupakan pekerja am tapak pembinaan Transit Aliran Autonomi (ART) maut selepas terlibat dalam satu kemalangan dengan kereta mewah Lamborghini.

Memetik Sarawak Update, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa merupakan pejalan kaki berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi. Kejadian berlaku sekitar jam 6.50 petang itu.

Baca Juga:

Pejalan Kaki Warga Asing Maut Dilanggar Lamborghini, Pemandu Ditahan
Sumber Gambar: Facebook Sarawak Update

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang sedang menyeberangi jalan telah dilanggar kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun yang sedang dalam perjalanan daripada Jalan Lapangan Terbang, Kuching menuju ke Padungan.

“Akibat kemalangan ini, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu Lamborghini ditahan
Pejalan Kaki Warga Asing Maut Dilanggar Lamborghini, Pemandu Ditahan
Sumber Gambar: Facebook Sarawak Update

Menurutnya lagi, pemandu Lamborghini tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, beliau menyeru agar mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik ASP Lucas Apin di talian 013-8246881 / 082-259900 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.