Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menganggap keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) untuk tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Kelantan FC bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024-2025 sebagai tepat.

Jelas beliau, kegagalan pengurusan Kelantan FC melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai tidak boleh diambil ringan apatah lagi FIB telah memberikan masa untuk masalah itu diselesaikan.

“Saya berharap agar tidak ada pihak merasakan hukuman FIB ini kejam, berat sebelah atau sebagainya. Jika kita melihat kepada kronologi dan proses yang diambil oleh FIB dalam membuat keputusan, jelas FIB memberikan toleransi, tolak ansur dan masa yang cukup kepada Kelantan FC melengkapkan syarat-syarat yang diberikan.

“Malah FIB bukan hanya melihat kepada kes-kes peringkat tempatan malah aduan-aduan yang dikemukakan pemain asing diperingkat FIFA. Saya juga tidak mahu menyalahkan kepada pemilik Kelantan FC 100 peratus kerana saya percaya beliau juga sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini.

“Namun FIB masih memberikan masa untuk Kelantan FC membuat rayuan sebelum 8 Januari ini, jadi mereka kena buat sesuatu jika mahu menyelamatkan pasukan,” katanya.

Mesyuarat Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) yang diadakan secara dalam talian pada 31 Disember 2023 selepas jam 6:00 petang telah membuat keputusan bahawa Kelantan FC gagal memperoleh Lesen Kebangsaan sekali gus menyaksikan mereka tidak layak bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024-2025.

Keputusan ini dibuat kerana Kelantan FC telah gagal untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan dibawah sub-kriteria F.04 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At June) dan sub-kriteria F.11 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At August) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

Kelantan FC juga tidak menghantar bukti resit bayaran ansuran bulanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP dan PERKESO untuk tunggakan sehingga Ogos 2023.

Bagaimanapun Kelantan FC diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari 2023 sebelum jam 5:00 petang terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Datuk Dr Pekan berkata, keputusan FIB ini juga perlu diambil iktibar kepada pasukan lain agar tidak terjebak dengan isu tunggakan gaji pada musim akan datang.

“Walaupun hukuman dikenakan tidak boleh beraksi dalam Liga Super 2024/2025 tetapi tanggungjawab melangsaikan hutang itu masih perlu dilakukan oleh pemilik Kelantan FC.

“ Dan apa yang berlaku ke atas Kelantan FC ini perlu dijadikan pengajaran kepada pasukan-pasukan lain agar menguruskan pasukan dengan penuh profesionalisme terutama dalam melibatkan perbelanjaan pasukan. Pasukan bukan saja perlu memikirkan soal bayaran gaji malah KWSP dan SOCSO juga,” katanya.