Kedai mamak sering menjadi pilihan ramai untuk melepak atau makan meskipun mempunyai sisi gelap iaitu dalam aspek tahap kebersihannya.

Terbaharu, tular sebuah video yang memaparkan seorang pekerja kedai mamak yang didakwa membasuh pinggan yang kotor di dalam bekas tong sampah.

Baca Juga:

Video yang dikongsikan menerusi akaun X @elyasyurizal memperlihatkan pekerja terbabit sedang mencelup pinggan dalam tong sampah di belakang sebuah premis yang dikatakan bertempat di Bandar Botanik, Klang, Selangor.

Lantaran jijik dengan tindakan tersebut, lelaki itu gegas bertindak menegur pekerja kedai mamak itu. Namun, respons yang diberi mengejutkan Elyas sama sekali.

Menurut, pekerja restoran itu, tong sampah berkenaan hanya digunakan bagi tujuan merendam pinggan kotor yang telah digunakan oleh pelanggan. Walau bagaimanapun, Elyas berpendapat penggunaan besen bagi tujuan tersebut adalah lebih baik daripada menggunakan tong sampah.

Hantaran tersebut ternyata telah menarik perhatian netizen khususnya mereka yang merupakan penggemar setia kedai mamak.

Majoritinya jijik dan mengecam tindakan pekerja berkenaan yang sanggup merendam pinggan ke dalam tong sampah.

Elyas juga sudah mendedahkan nama restoran itu iaitu Chennai Spices Restaurant dan meminta orang ramai membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tindakan undang-undang dapat diambil.

Malah, ada juga netizen bekerja berhampiran restoran berkenaan mendakwa pernah melihat pekerja kedai yang sama membuang air kecil di bahagian belakang kedai dan mengelap sisa tersebut di apron.

Sumber Gambar: X @elyasyusrizal
Sumber Gambar: X @elyasyusrizal

Tidak dipastikan lagi sama ada tong sampah itu memang dibeli secara khususnya untuk merendam pinggan sahaja ataupun sebaliknya.