Polis Melaka sedang mengesan pelanggan yang mempunyai pertikaian berhubung pembelian sos cili di kedai McDonald’s bagi memudahkan siasatan.

Kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu (22 Sept) itu berlaku di sebuah restoran McDonald’s yang terletak di Taman Buaya, di sini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata adalah penting untuk merekodkan kenyataan daripada peniaga berusia 45 tahun itu, kerana kedua-dua pihak memberikan versi berbeza mengenai kejadian itu, petik New Straits Times.

“Seorang pekerja wanita restoran makanan segera itu membuat laporan di balai polis Ayer Keroh pada jam 7.16 malam semalam kerana berasa terancam dan bimbang dengan keselamatannya selepas pelanggan merekodkan kejadian itu.

“Kenyataan wanita itu turut direkodkan ketika melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan siasatan awal, lelaki itu mendakwa dia diminta membayar sos cili tambahan, walaupun dia sudah memesan makanan di restoran itu. Bagaimanapun, menurut kakitangan restoran itu, lelaki itu memaksanya menjual 10 peket sos cili kepadanya, walaupun dimaklumkan ia adalah percuma daripada syarikat makanan segera itu.

Christopher berkata wanita itu juga mendakwa lelaki itu telah memarahi dan menjerit kepadanya semasa kejadian yang berlaku antara 10 malam dan 11 malam pada 22 Sept.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Dalam pada itu, Christopher berkata semakan melalui Sistem Pelaporan Polis Bersepadu (IPRS) mendapati Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Melaka telah membuat laporan polis selepas restoran itu menerima notis denda kerana gagal mempamerkan harga sos cili.

Terdahulu, McDonald’s Malaysia telah mengeluarkan kenyataan semalam, menjelaskan bahawa insiden itu berpunca daripada pekerja mereka menyediakan jumlah paket sos cili yang tidak mencukupi untuk pesanan makanan pelanggan.

Ini membawa kepada kekecewaan pelanggan, kerana dia berkeras untuk membayar tambahan 10 paket sos cili, walaupun dimaklumkan bahawa ia adalah percuma.