Laporan terkini dari Lloyd’s List 2025 telah mengiktiraf Pelabuhan Klang sebagai salah satu pelabuhan utama di dunia, satu pencapaian yang menandakan kemajuan ketara dalam arena logistik dan perdagangan global.

Pengiktirafan ini sekaligus menempatkan Pelabuhan Klang setaraf dengan pelabuhan-pelabuhan terkemuka lain seperti Pelabuhan Shanghai, Pelabuhan Singapura, dan Pelabuhan Rotterdam.

Pelabuhan Klang Disenaraikan Antara 10 Pelabuhan Utama Dunia Oleh Lloyd's List 2025
Sumber Gambar: Berita Harian SG

Memetik BernamaBiz, pelabuhan Klang telah mengatasi Hong Kong di manamencerminkan kekuatan daya saing pelabuhan negara serta mengangkat Malaysia sebagai kuasa maritim terkemuka di rantau ini.

Dalam kenyataan pada Isnin, Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan lonjakan ke tangga ke-10 itu turut melengkapkan rekod peningkatan berterusan Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lepas — tangga ke-13 (2022) dan ke-11 (2023).

Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kapasiti, fasiliti dan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi permintaan perdagangan global, tambahnya.

“Pelaburan dan pembangunan strategik kemajuan ini turut disokong oleh projek pembangunan infrastruktur Westports menerusi pengembangan terminal baharu (CT10-CT17) yang dijangka menggandakan kapasiti daripada 14 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) kepada 28 juta TEU menjelang 2028.

“Projek juga meliputi di Northport iaitu menaik taraf Dermaga 9 dan fasiliti lain bagi menyokong operasi kapal lebih besar dan volum pengendalian yang meningkat, manakala di Pulau Carey dengan projek mega jangka masa panjang berpotensi meningkatkan kapasiti sehingga 30 juta TEU setahun menjelang 2060,” menurut MOT.

Kementerian Pengangkutan melaporkan bahawa Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah mengekalkan kedudukannya di tangga ke-15 dalam senarai global bagi tahun 2023 dan 2024.

Prestasi PTP menunjukkan peningkatan yang ketara dengan pengendalian kontena melonjak kepada 12.25 juta TEU pada tahun 2024, satu peningkatan sebanyak 16.9% berbanding 10.48 juta TEU pada tahun sebelumnya.

Ini menunjukkan bukan sahaja Pelabuhan Klang, tetapi juga PTP turut memainkan peranan penting dalam industri perkapalan global, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab maritim yang penting.

“Gabungan kekuatan Pelabuhan Klang dan PTP menjadikan Malaysia sebagai negara kelima terbesar dunia dari segi jumlah pengendalian kontena pada 2024, memperkukuh peranan strategik negara di sepanjang Selat Melaka, laluan pelayaran paling sibuk di dunia,” jelas MOT.

Kementerian mengumumkan bahawa Pelabuhan Klang menunjukkan prestasi yang kukuh pada tahun 2024, mencatat pengendalian kontena sebanyak 14.64 juta TEU. Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 4.1% berbanding 14.06 juta TEU yang dicatatkan pada tahun 2023.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran global, terutamanya krisis di Laut Merah, Pelabuhan Klang terbukti berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan dinamik perdagangan antarabangsa. Peningkatan ini memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global.

“Berdasarkan momentum itu, pengendalian dijangka mencecah 14.98 juta TEU pada 2025, mengukuhkan lagi kedudukan pelabuhan ini dalam kalangan hab maritim utama dunia,” menurut MOT.

Apa sebenarnya Lloyd’s List?

Lloyd’s List adalah sebuah perkhidmatan maklumat dan analisis maritim global yang terkemuka, dengan sejarah yang menjangkau hampir 300 tahun. Ia bermula pada tahun 1734 sebagai sebuah surat berita mingguan yang memberikan maklumat tentang pergerakan kapal, laluan laut, dan aktiviti perdagangan.

Semuanya bermula pada tahun 1734 sebagai sebuah surat berita mingguan yang memberikan maklumat tentang pergerakan kapal, laluan laut, dan aktiviti perdagangan.

Ringkasnya, Lloyd’s List adalah sumber utama yang dipercayai oleh para profesional dalam sektor maritim untuk membuat keputusan perniagaan yang tepat dan strategik.