Saham Astro Malaysia Holdings Bhd terus menunjukkan prestasi yang membimbangkan apabila menjunam ke paras terendah sepanjang sejarah dagangannya pada hari Rabu.
Menurut The Edge, kejatuhan ini membuatkan hilangnya keyakinan pelabur terhadap prospek syarikat televisyen berbayar terkemuka negara itu, terutamanya dalam menghadapi persaingan sengit daripada perkhidmatan digital dan trend pengiklanan yang semakin lemah.
Menurut penganalisis pasaran, penurunan ini berpunca daripada laporan kewangan tahunan (FY2025) yang mengecewakan, di mana prestasi syarikat hanya mencapai dua pertiga daripada jangkaan awal.
Keadaan ini menyebabkan majoriti penganalisis mengambil pendirian lebih berhati-hati, dengan sesetengah institusi kewangan terkemuka seperti Maybank Investment Bank mengekalkan cadangan ‘jual’ bagi saham Astro.
“Kami menjangkakan prestasi Astro akan terus menghadapi cabaran besar dalam persekitaran ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan kos sara hidup dan perubahan pola penggunaan pengguna,” jelas Maybank dalam nota penyelidikannya.
Astro Hadapi Saingan Luar
Persaingan daripada perkhidmatan penstriman digital seperti Netflix dan Disney+ terus mengikis dominasi Astro dalam pasaran kandungan berbayar.
Trend ini bukanlah sesuatu yang baharu, kerana syarikat telah bergelut dengan isu pengurangan pelanggan sejak tujuh tahun kebelakangan ini.
Malah, acara sukan besar seperti Olimpik dan Kejohanan Eropah UEFA yang dijangka dapat membantu meningkatkan pendapatan ternyata gagal memberikan impak yang diharapkan.
Satu perkembangan yang membimbangkan ialah keputusan Public Investment Bank (PIB) untuk menghentikan liputan penyelidikan ke atas saham Astro.
Menurut PIB, langkah ini diambil ekoran minat pelabur yang semakin berkurangan terhadap saham tersebut, selain persaingan sengit daripada platform digital bukan tradisional.
Lebih memburukkan keadaan, Kenanga Investment Bank memberi amaran bahawa Astro mungkin berdepan liabiliti cukai besar-besaran sebanyak RM735 juta sekiranya rayuannya terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) gagal.
Jumlah ini dikatakan mampu menghapuskan hampir dua pertiga daripada dana pemegang saham syarikat, sekaligus memberi tekanan tambahan kepada kedudukan kewangannya.
4QFY2025: Untung Bersih Jatuh 77%
Dari segi prestasi terkini, Astro melaporkan keuntungan bersih suku keempat (4QFY2025) merosot sebanyak 77 peratus kepada RM10.49 juta berbanding tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, secara keseluruhan tahun kewangan 2025, syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM129.5 juta, iaitu peningkatan lebih tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya, terutamanya disokong oleh pengurangan kos kewangan dan pelunasan aset tidak ketara.
Berdasarkan data Bloomberg, pandangan penganalisis terhadap saham Astro kini didominasi oleh sentimen negatif, dengan lima institusi penyelidikan mengeluarkan cadangan ‘jual’ berbanding hanya dua yang mengekalkan cadangan ‘beli’.
Harga sasaran purata untuk tempoh 12 bulan akan datang pula ditetapkan pada paras 16 sen, yang hampir menyamai harga semasa saham tersebut.