Berita duka jutawan terkenal Malaysia, T Ananda Krishnan, meninggal dunia pada usia 86 tahun telah menyebabkan saham di beberapa syarikat di bawah empayar perniagaannya turut menyaksikan penurunan.
Menurut NST, Maxis, di mana Ananda Krishnan merupakan pemegang saham utama, turun empat sen kepada RM3.52, manakala Astro susut setengah sen kepada 22.5 sen.
Bumi Armada, yang dimiliki melalui Objektif Bersatu Sdn Bhd, jatuh satu sen kepada 55.5 sen.
Bagaimanapun beberapa saham syarikat utama juga mencatatkan penurunan, termasuk CIMB yang rugi 10 sen kepada RM8.27, RHB Bank susut 12 sen kepada RM6.66, dan Telekom Malaysia jatuh 11 sen kepada RM6.35.
Petronas Chemicals pula turun enam sen kepada RM4.67, manakala MyDIY susut empat sen kepada RM1.81.
Dalam kalangan saham aktif, Genetec Technology naik dua sen kepada RM1.19, tetapi Nationgate mencatat kejatuhan besar sebanyak 26 sen kepada RM2.09.
Pemergian Ananda Krishnan disahkan oleh Usaha Tegas Sdn Bhd, syarikat pelaburan yang diasaskan olehnya.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu menyebut, “Beliau telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara dan dunia korporat. Inisiatif filantropinya juga telah menyentuh banyak kehidupan.”
Ananda, yang disenaraikan Forbes sebagai individu ketiga terkaya di Malaysia pada April 2024 dengan kekayaan bersih AS$5.1 bilion, dikenali sebagai tokoh penting di sebalik penubuhan Maxis Bhd dan Astro Malaysia Holdings Bhd.
Beliau juga memiliki kepentingan besar dalam Bumi Armada Bhd.
Beliau meninggalkan seorang anak lelaki, Ven Ajahn Siripanyo, yang merupakan seorang sami Buddha, serta dua anak perempuan.